TOKYO - Jepun merancang melonggarkan sekatan perjalanan untuk warga asing dari seluruh dunia tidak termasuk pelancong mulai Oktober, memetik sumber kerajaan pada Rabu.
Kerajaan sedang mempertimbangkan bagi membenarkan kira-kira 1,000 warga asing masuk ke Jepun setiap hari untuk tinggal selama tiga bulan atau lebih.
Berikutan itu juga keupayaan saringan koronavirus (Covid-19) di lapangan terbang akan dipertingkatkan, kata sumber itu.
Pada masa ini, Jepun mengenakan larangan masuk kepada 159 negara dan wilayah. Warga asing yang pernah mengunjungi ke wilayah dan negara tersenarai dalam masa 14 hari tidak dibenarkan masuk dengan beberapa pengecualian, lapor Kyodo News.
Kerajaan Jepun secara bertahap membatalkan sekatan perjalanan, warga asing yang mempunyai status penduduk dan melancong ke luar negara dibenarkan masuk semula ke negara ini mulai September.
Ahli perniagaan daripada beberapa negara Asia termasuk Vietnam dan Thailand turut dibenarkan, tetapi perlu memenuhi syarat-syarat tertentu.
Selain itu, pelajar asing yang tidak mendapat bantuan kerajaan, kakitangan perubatan dan mereka yang mengambil bahagian dalam kegiatan budaya, antara akan dibenarkan masuk ke Jepun.
Langkah itu bertepatan dengan bermulanya semester musim gugur di universiti Jepun selain menjelang Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo.
Memandangkan jumlah kes baharu Covid-19 menunjukkan trend penurunan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, antara faktor Perdana Menteri Yoshihide Suga menumpukan kepada usaha merancakkan kembali aktiviti ekonomi.
Di samping itu atlet juga akan dibenarkan masuk ke Jepun untuk menjalani latihan.
Jepun sehingga kini mencatatkan lebih 80,000 jangkitan Covid-19 dengan jumlah kematian lebih 1,500 orang, jauh lebih rendah berbanding beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat.
Kerajaan sudah meningkatkan langkah pencegahan dan saringan Covid-19 di tiga lapangan terbang terbesar, Narita dan Haneda di Tokyo dan Kansai di Osaka dan sekarang beralih ke New Chitose dekat Sapporo, Chubu berhampiran Nagoya dan lapangan terbang Fukuoka. - Bernama