Bantu pelanggan atur harta pusaka

Iklan
Izumi Inoue (tengah) dan Stephen Clark (kanan) pada majlis pengumuman membentuk kerjasama tersebut.
ZURICH Malaysia dan Bereev membentuk kerjasama menerusi platform perancangan legasi dalam talian bagi membantu pelanggannya terhadap perancangan warisan dalam cara yang mudah.

Aplikasi berasaskan web yang unik ini membolehkan pengguna merancang dan menyimpan maklumat penting mengenai pelbagai aspek perancangan harta termasuk kehendak untuk polisi insurans, harta benda, pinjaman terkumpul dan hasrat peribadi yang akan dilaksanakan selepas kematian di dalam satu saluran selamat.

Inisiatif terkini ini adalah sebahagian usaha berterusan Zurich untuk menyediakan produk, perkhidmatan dan penjagaan pelanggan yang inovatif sepanjang hayat mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Life Insurance Malaysia Berhad, Stephen Clark, berkata, pihaknya sentiasa mencari idea inovatif yang akan membantu pelanggan merancang dan menjamin masa depan mereka dengan lebih baik.

"Oleh kerana keperluan pelanggan kami berkembang, begitu juga produk dan perkhidmatan, kami memilih untuk bekerjasama dengan Bereev kerana ia menyediakan pengguna dengan alat yang mudah diakses bagi mengatur harta pusaka dan kehendak mereka jika mereka meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bereev, Izumi Inoue berkata, platform perancangan legasi dalam talian pada masa ini telah menarik minat ramai pengguna swasta serta pelanggan korporat.

"Melalui perkongsian ini, saya yakin Bereev akan dapat membantu lebih banyak keluarga di seluruh Malaysia untuk menavigasi dan mengatasi kehilangan orang yang disayangi," katanya.

Izumi Inoue menambah, Bereev telah dilancarkan pada awal tahun lalu.