PPZ-MAIWP sasar kutipan zakat RM690 juta tahun ini

Iklan
Ahmad Shukri melakukan simbolik penyerahan kepada Pengetua Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Wan Jamaludin Wan Bidin pada Majlis Simbolik Penyerahan Al-Quran kepada pelajar asnaf dan B40 di Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM690 juta pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, sasaran itu yakin dapat dicapai ekoran pertambahan jumlah pembayar zakat sebanyak tujuh peratus setakat ini.

Iklan
Iklan

"Untuk tahun 2019, kutipan zakat mencatatkan sebanyak RM683 juta dan PPZ-MAIWP yakin jumlah tersebut akan meningkat lagi.

"Melihatkan pertambahan tersebut juga disebabkan kesedaran untuk membayar zakat semakin meningkat saban hari, ada yang buat potongan melalui gaji dan pelbagai lagi kaedah yang lain," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Simbolik Penyerahan Al-Quran kepada pelajar asnaf dan B40 bertempat di Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz di Bandar Tun Razak, di sini hari ini.

Mengulas mengenai program berkenaan, katanya, PPZ-MAIWP menerusi tanggungjawab sosial korporat iaitu Khaira PPZ hari ini mengadakan penyerahan sumbangan al-Quran kepada pelajar tahfiz daripada golongan asnaf dan B40.

Iklan
Majlis Simbolik Penyerahan Al-Quran kepada pelajar asnaf dan B40 berlangsung di Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

"Program ini bertujuan membantu melengkapkan keperluan pelajar yang memerlukan di samping memupuk sifat cintakan al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup mereka.

"Seramai 150 orang pelajar asnaf dan B40 melibatkan tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 dan SMK Seri Saujana menerima manfaat sumbangan Khaira PPZ dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,000," katanya.

Menurutnya, program itu adalah salah satu usaha PPZ-MAIWP memberi bantuan tambahan kepada mana-mana pihak yang memerlukan.

"Sebanyak 50 naskhah al-Quran terjemahan dan tajwid berwarna diberikan kepada setiap sekolah itu bagi membantu para pelajar memahami dan mendalami isi al-Quran.

"Besar harapan saya ingin melihat anak-anak ini berjaya bukan sahaja dalam bidang akademik juga menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Kempen Zakat Pendidik bermula 15 Ogos sehingga 15 November, katanya, para pendidik digalakkan menunaikan zakat pendapatan secara potongan gaji bulanan.

"Kempen ini juga bertujuan sebagai galakan kepada para pendidik yang sudah membuat potongan gaji untuk menambah jumlah bayaran zakat mereka," katanya.

Menurutnya, kempen ini merupakan salah satu usaha PPZ-MAIWP dalam memastikan warga pendidik tetap menunaikan kewajipan berzakat walaupun di dalam kesibukan kerja.

Ahmad Shukri Yusoff menyerahkan sumbangan kepada salah seorang pelajar pada majlis tersebut di Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

"PPZ-MAIWP akan sentiasa memberikan kemudahan yang terbaik bagi memudahkan urusan berzakat.

"Semoga kempen zakat pendidik ini dapat membantu warga pendidik untuk lebih mudah menunaikan zakat dengan hanya melalui potongan gaji serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik,” katanya.

Jelasnya,penyertaan Kempen Zakat Pendidik 2020 adalah terbuka kepada semua warga pendidik yang membayar zakat melalui saluran Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB) sama ada pembayar baharu atau yang menambah jumlah potongan zakat.

"Cara penyertaan adalah isi dan hantar borang potongan gaji kepada ketua kerani sekolah untuk dikemaskini ke dalam SG20 (Borang Perubahan Gaji).

"Pihak sekolah akan menghantar borang salinan kepada PPZ-MAIWP untuk proses seterusnya," katanya.