PENGENDALI Chelsea, Frank Lampard memuji malam luar biasa Kai Havertz setelah penyerang paling mahal direkrut The Blues itu menjaringkan hatrik ketika membelasah kelab Liga Kejuaraan, Barnsley 6-0 pada aksi Piala Liga di Stadium Stamford Bridge.
Menurut bekas pemain Chelsea berusia 42 tahun itu, Havertz berada pada kedudukan terbaik dengan fungsinya akan lebih berkesan apabila tahap kecergasan pemain Jerman kembali sepenuhnya.
Katanya, beliau gembira dengan prestasi Havertz pada perlawanan ini kerana persembahan sedemikian yang perlu ditonjolkan bekas pemain Bayer Leverkusen itu.
"Biarpun begitu sebenarnya Havertz tidak memiliki aksi pra musim sebelum ini, dan ketika dia hadir ke Stamford Bridge juga memerlukan beberapa hari untuknya menyesuaikan diri.
"Malam ini adalah latihan yang terbaik bagi Havertz untuk dia melihat menyaksikan sendiri bagaimana kami mahu melakukannya dengan dia menjadi sebahagian dari impak positif berkenaan.
"Dia juga pada perlawanan ini memiliki kebebasan menggerakkan bola dan berkeliaran lebih di kawasan di kawasan tengah.
"Saya juga gembira Havertz juga berjaya membentuk gandingan mantap dengan Tammy Abraham. Saya senang dengan cara dia berkembang dalam permainan dari segi keyakinan. Ia adalah malam yang hebat untuk Havertz," katanya.
Pada aksi menentang Tykes itu, The Blues meledak enam gol dengan tiga adalah jaringan pemain berusia 21 tahun berkenaan bermula minit ke-28', 55' dan 65'.
Tiga gol The Blues lain dijaringkan oleh Tammy Abraham (16'), Ross Barkley (49') sebelum ledakan minit ke-83' Oliver Giroud mengakhiri malam pesta gol 6-0 di laman sendiri.
Havertz sebelum ini menyingkap tirai kempen liga Inggerisnya dengan agak perlahan ketika menentang Brighton diikuti Liverpool sehingga mendapat kritikan pengkritik sukan Jamie Carragher yang mempersoalkan keberkesanan fungsi pemain nombor 10 itu bersama kelab London berkenaan.
Sementara itu, Havertz selepas perlawanan berkenaan berkata:"Saya sangat gembira dengan kemenangan Chelsea ini di samping tiga gol yang seterusnya meneruskan kemaraan kelab ini.
"Saya juga berharap kami dapat meneruskan momentum positif seperti dalam aksi menentang Barnsley untuk perlawanan seterusnya.
"Gandingan saya dengan Abraham juga sangat baik di padang biarpun ini adalah permainan pertama kami bersama tetapi saya sangat menyukainya sebagai penyerang. Bagi saya sebagai pemain nombor 10, sangat bagus bermain dengannya."