SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru agar semua rakyat Malaysia terus bertenang dan mendoakan kondisi politik negara terus stabil.
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, sebagai wakil kepada generasi muda, ABIM melihat bahawa kepentingan rakyat perlu diberikan keutamaan berbanding isu politik yang hangat diperkatakan ketika ini.
Menurutnya, generasi muda juga mengharapkan mandat rakyat yang diamanahkan kepada parti yang memperoleh majoriti menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu dapat dikembalikan.
"Situasi kerajaan semasa yang tidak stabil akan mengakibatkan ketidakyakinan pelabur sekaligus menggugat untuk meneruskan agenda rakyat.
"Justeru satu jalan keluar perlu ditawarkan dengan berteraskan prinsip yang luhur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu
UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimen mahu sokong Anwar
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Answar Ibrahim yang mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu dan menegaskan bahawa majoriti yang diperoleh adalah konklusif serta bukannya majoriti tipis.
Anwar turut memberi jaminan bahawa beliau mempunyai 'dokumen tetap yang tidak boleh diragui' bagi membuktikan beliau kini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baharu.
Dalam pada itu, Muhammad Faisal turut mengharapkan agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dapat mempertimbangkan yang terbaik untuk negara.
"ABIM sentiasa menjunjung tinggi budi bicara Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk mengangkat suara rakyat selari dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.
"Malah ABIM dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan semoga ALLAH SWT memberikan kesihatan dan kesejahteraan buat Al-Sultan Abdullah yang kini sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara,” katanya.