MELAKA TENGAH - Sukar digambarkan perasaan penyewa Kampung Jawa apabila mereka terpaksa meninggalkan kediaman yang didiami lebih 20 tahun lalu susulan arahan pindah oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Biarpun sedih namun mereka tetap akur dengan notis arahan dikeluarkan oleh MBMB yang meminta mereka mengosongkan kawasan itu bagi menjalankan kerja-kerja merobohkan bangunan usang yang bermula sekitar jam 10.30 pagi tadi.
Kassim Wi Abdullah, 60, yang tinggal berbelas tahun di Kampung Jawa berkata, hatinya bertambah sayu dan pilu melihat kenderaan berat jengkaut merobohkan bangunan berdindingkan papan itu.
Menurutnya, hubungan kejiranan yang terjalin di antara penduduk di situ menjadi memori yang sukar dilupakannya.
"Mana tak sedih, banyak kenangan selama saya tinggal di sini namun saya reda dan akur dengan arahan MBMB.
"Sudah nasib kami di sini, kami terima dan harap tiada lagi yang senasib dengan kami selepas ini,” katanya yang berpindah ke Pengkalan Rama.
Norrina Osman, 57, yang telah berpuluh tahun menyewa di situ turut tidak dapat menyembunyikan perasaan sebaknya ketika melihat bilik yang didudukinya sejak lebih 30 tahun lalu rebah menyembah bumi.
"Lama saya tinggal di sini kerana ia murah. Di tempat sewa baharu, saya perlu memikirkan cara lain untuk menampung bayaran sewa bulanan sebanyak RM200 sebulan berbanding sebelum ini tidak sampai RM100," katanya.
Terdahulu, wakil syarikat yang memiliki tanah tersebut tampil menghulurkan wang saguhati berjumlah RM200 hingga RM500 kepada 25 keluarga berkenaan.
Bagaimanapun, mereka enggan membuat sebarang komen mengenai kedaifan penempatan tersebut sebelum ini yang didiami kira-kira 50 orang termasuk kanak-kanak.
Sinar Harian semalam menyiarkan lebih 23 penyewa yang sudah lama mendiami Kampung Jawa di sini runsing apabila mereka terpaksa mengosongkan penempatan itu hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN Penyewa Kampung Jawa diarah kosong rumah
Mereka mendakwa, MBMB mengeluarkan notis Bangunan Tidak Layak Diduduki dalam masa singkat sehingga mereka buntu untuk mencari rumah atau bilik sewa lain dalam masa terdekat.
Namun akhirnya akur dengan notis pemindahan daripada pemilik tanah setelah mereka menerima Notis Bangunan Tidak Layak Diduduki yang dikeluarkan oleh MBMB di bawah Seksyen 83(1) Akta 133.