ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah tidak terjejas dengan dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, jatuh.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pengumuman Anwar itu tidak ada kena mengena dengan Kedah, malah beliau yakin pentadbiran di negeri ini tidak terkesan sama sekali.
Muhammad Sanusi berkata, beliau juga yakin kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Kedah tidak akan berpaling tadah, malah yakin terus setia dengan kepimpinan beliau.
"Saya ternanti-nanti pada waktu bilakah beliau (Anwar) akan menjadi Perdana Menteri, bagaimanapun tiada apa-apa dilihat berlaku setakat ini dan kita tidak ada masalah dengan pengumuman tersebut.
"Bagaimanapun, kita rasa sedikit janggal memandangkan kini ada masalah lain yang lebih besar, tetapi perlu menghadapi seseorang yang amat teringin menjadi Perdana Menteri," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) berkaitan Covid-19 di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Kota Setar di sini hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, beliau berpendapat sepatutnya Anwar perlu menunggu masa lain untuk mengumumkannya kerana ketika ini banyak isu besar lain di negara ini perlu diuruskan Muhyiddin.
Malah, katanya, beliau tidak pernah melihat kejatuhan sesebuah kerajaan diumumkan melalui sidang akhbar, sebaliknya melihat kerajaan terbubar apabila Perdana Menteri meletak jawatan ataubertemu Yang di-Pertuan Agong untuk mohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Kerajaan negeri sememangnya sentiasa menyokong penuh kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri terutama ketika ini akibat pandemik Covid-19," katanya.
Semalam, Anwar yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson pada sidang akhbar di Kuala Lumpur mendakwa memiliki majoriti kukuh untuk menubuhkan kerajaan baharu, sekali gus menjatuhkan kerajaan pimpinan Muhyiddin.
ARTIKEL BERKAITAN: Anwar dakwa bakal tubuh kerajaan baharu