SATU undian yang akan berlangsung pada Ahad ini bagi mengehadkan imigrasi dijangka tidak akan mendapat sambutan tetapi terdapat kebimbangan berlakunya satu kejutan dalam pengundian itu.
Jika pengundi mengundi meluluskan undian tersebut ia akan menerima tamparan hebat dalam hubungan negara itu dengan blok Kesatuan Eropah (EU).
Inisiatif untuk mengadakan undian itu disokong oleh Parti Rakyat Switzerland (SVP) yang berhaluan kanan yang terbesar di negara tersebut.
Ia mendapat kurang sokongan daripada para pengundi dalam undian yang diadakan baru-baru ini.
Namun, SVP telah membuat kejutan apabila mencapai kemenangan mengejut pada masa lalu dalam 'perang' bagi menentang hubungan rapat dengan EU.
Keadaan itu menyebabkan timbulnya spekulasi bahawa hubungan antara Switzerland dengan rakan-rakan perdagangannya yang terbesar mungkin terjejas.
Inisiatif itu yang menggunakan pendekatan mengundi sebagai sebahagian daripada sistem demokrasi mendesak negara tersebut memulihkan perlembagaannya bagi memastikan ia boleh secara autonomi mengendalikan dasar imigresennya.
SVP yang membina jenamanya dengan mengutuk migrasi dan pengaruh EU memberi amaran tentang negara yang kaya itu menghadapi bilangan penhijrah 'terlebih ramai' dan tidak dapat dikawal sekali gus menyebabkan peluang pekerjaan terancam.
"Kita perlu menarik semula sebahagian daripada kedaulatan kita melibatkan pengawalan imigrasi," kata seorang anggota parti SVP yang juga anggota parlimen perbandaran Geneva Vincent Schaller kepada AFP.
Bercakap dekat sebuah pasar di Geneva dalam perbincangan dengan orang awam mengenai undian tersebut, dia menegaskan bahawa SVP mahukan pilihan terhadap dasar imigresennya.
Dia berada di sebelah poster yang paling provokatif untuk undian itu yang menunjukkan seorang karakter memakai seluar jean dengan tali pinggang dilukis dengan beberapa buah bintang EU dan duduk di atas sebuah peta Switzerland dan terdapat perkataan 'Cukup, sudah cukup.'
Kami memilih imigrasi yang berkualiti dan bukannya kuantiti, kata seorang anggota parti SVP, Elvira Voskresenskaia.
Walaupun bukan menjadi anggota EU, Switzerland terikat kepada blok itu melalui satu siri perjanjian bilateral yang rumit.
Jika inisiatif yang dilakukan oleh parti tersebut diluluskan, pihak berkuasa negara berkenaan mempunyai masa selama setahun untuk mengadakan rundingan dan menamatkan perjanjian dengan Brussels di Belgium yang menempatkan banyak institusi EU.
Perjanjian itu adalah mengenai pergerakan bebas individu antara Switzerland dengan EU yang ditandatangani pada tahun 1999.
Inisiatif itu melibatkan kandungan yang lebih mendalam berbanding satu cadangan yang turut mendapat sokongan SVP yang telah diundi pada tahun 2014.
Pada tahun itu, ia menuntut supaya kuota migrasi dari negara-negara EU dilakukan.
Cadangan pada tahun 2014 itu hampir diluluskan menyebabkan hubungan Switzerland dengan EU berada dalam keadaan tidak baik.
EU turut memberikan amaran bahawa sebarang usaha mengekang dasar imigresen tersebut oleh warga EU sendiri akan meletakkan keseluruhan perjanjian bilateral berada dalam keadaan berisiko.
Sebelum ini, EU bergelut selama bertahun-tahun untuk mencari jalan bagi menghormati hasrat warganya tanpa mengasingkan jiran-jiran blok tersebut.
Selepas rundingan panjang, perjanjian dicapai pada tahun 2016 bagi menghentikan pelan asal bagi melaksanakan kuota terhadap permit residen yang dikeluarkan kepada warga EU yang sebelum ini ditolak oleh EU.
Sebaliknya, blok tersebut mengkehendaki para pekerja Switzerland melangkaui beberapa birokrasi sebelum menggajikan pekerja dari EU selain mengutamakan pencari-pencari kerja daripada kalangan rakyat Switzerland.
Namun, parti SVP mengkritik kompromi yang dicapai itu sebagai satu pengkhianatan menyebabkan inisiatif tersebut dilancarkan.
Ketika undian tahun 2004 masih lagi berada dalam memori warga Switzerland, ia kelihatan sebagai sesuatu yang membimbangkan berhubung kelonggaran dasar imigresen itu dengan tinjauan pendapat baru-baru ini menunjukkan kira-kira 65 peratus penduduk Switzerland telah menentang inisiatif parti berkenaan.
"Situasi sudah terlalu banyak berubah berbanding pada tahun 2014," kata pakar sains politik Universiti Geneva, Pascal Sciarni kepada AFP.
Dia turut menyatakan satu penyelidikan yang menunjukkan sejumlah penduduk negara berkenaan yang telah mengundi untuk inisiatif parti SVP pada tahun 2014 tetapi mengubah pemikiran mereka setelah menyedari bahawa EU tidak akan berganjak daripada beberapa prinsipnya.
Sementara itu, parti SVP pula mendapati ia dipinggirkan apabila kerajaan, parlimen, kesatuan sekerja, pertubuhan majikan dan semua parti politik mendesak supaya pengundi menolak inisiatif tersebut.
Para penentang inisiatif itu menekankan betapa pentingnya hubungan EU kepada ekonomi negara Switzerland terutama di wilayah sempadan Geneva dan Basel apabila ramai orang menyeberanginya dari EU untuk pergi bekerja.
Kerajaan juga memberi amaran bahawa jika Switzerland membatalkan perjanjian pergerakan individu secara bebas itu secara satu pihak, klausa 'pemotongan' akan dikuatkuasakan bagi keseluruhan pakej perjanjian antara Switzerland dengan EU termasuk daripada aspek perdagangan.
Undian yang diadakan pada hari Ahad ini akan menyaksikan penduduk negara tersebut mengundi dalam beberapa isu seperti sama ada untuk membatalkan pembelian jet-jet pejuang baharu bernilai AS$6.6 bilion (RM27.51 bilion) atau untuk memberikan cuti bersalin selama dua minggu kepada bakal bapa-bapa baharu. - AFP