Laung azan ketika ribut badai rumah

Iklan
Yusuf ketika ditemui pemberita di Kampung Limau Manis, Sepang hari ini menunjukkan sebahagian bumbung rumahnya yang hilang diterbangkan angin kuat dalam kejadian ribut kelmarin.

SEPANG - Saya hanya mampu melaungkan azan sebelum bumbung rumah saya diterbangkan angin kuat, kata salah seorang mangsa ribut di Kampung Limau Manis di sini apabila rumahnya rosak akibat ribut yang melanda kelmarin.

Yusuf Mat Noor, 56, berkata, ketika kejadian dia bersama isteri dan tiga lagi anaknya berada di ruang tamu rumahnya.

Iklan
Iklan

"Pada mulanya hujan lebat, disusuli dengan angin kuat. Saya rasa rumah bergoyang. Ingat tak ada apa-apa sebab saya sangka ribut ini tak lama.

"Kemudian angin semakin laju. Saya sempat suruh anak dan isteri pergi berlindung di dapur. Masa itu saya tak fikir panjang, terus tekup telinga dan laungkan azan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan

Yusuf berkata, beberapa minit selepas itu, angin kuat menerbangkan bumbung rumahnya.

"Seingat saya, saya tak sempat habis saya laungkan azan, bumbung rumah saya bergulung sebelum diterbangkan ribut.

Iklan

"Sebahagian kayu alang jatuh timpa saya. Mujurlah tak berlaku apa-apa kecederaan serius, tapi paling penting saya bersyukur kerana anak dan isteri saya tidak cedera dalam kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengadakan lawatan ke beberapa buah rumah yang terlibat dalam kejadian ribut itu.

Kejadian kira-kira jam 4.20 petang kelmarin itu melibatkan lebih 150 buah rumah meliputi Kampung Limau Manis, Desa Pinggiran Putra dan Desa Putra di sini.