SHAH ALAM - Kerajaan perlu bertindak lebih tegas terhadap rumah ibadah yang dibina tanpa mengikut undang-undang atau secara haram di negara ini.
Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin berkata, satu tindakan dan peraturan yang tegas hendaklah dibuat ke atas rumah-rumah ibadat yang dibina tanpa peraturan.
"Apatah lagi yang dibina secara haram atas tanah yang bukan milik penganut agama berkenaan.
"Jika Kerajaan yang lepas terlalu menjaga undi sehingga dibiarkan wujud begitu banyak rumah ibadat tidak mengikut peraturan atau secara haram itu, Kerajaan hari ini wajib menegaskan dan menegakkan peraturan dalam bernegara,” katanya melalui perkongsian di Facebook peribadinya hari ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Isu pindah kuil, selisih faham punca gaduh]
[ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan kuil: Kerajaan Selangor harus bertanggungjawab]
Mohd Asri berkata, Malaysia bukan pakai undang-undang rimba yang mana sesiapa boleh pacak rumah ibadah di mana dia suka.
"Apatah lagi kadang-kadang jumlah rumah ibadah itu tidak seimbang dengan taburan penganut.
"Sebelum keadaan yang lebih tidak aman berlaku, eloklah Kerajaan hari ini membetulkan kesalahan lepas dengan menegakkan undang-undang yang sepatutnya,” katanya.
Mohd Asri memberitahu, peliknya, apabila telah dibina (rumah ibadah) secara salah kemudian diminta berpindah, mereka menuntut pula pampasan dan tanah baru.
"Mudahnya mendapat tanah pampasan kerajaan. Itupun ada yang mendakwa kononnya tertindas dan dipaksa tukar agama.
"Kadang-kala tempat yang dibina rumah ibadat itu pula memang mengganggu kemudahan awam seperti yang kita lihat di pintu masuk Hospital Bukit Mertajam. Pihak berkuasa hanya berdiam,” katanya lagi.
Beliau membuat kenyataan itu dipercayai sebegai maklum balas kepada insiden keganasan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya awal pagi tadi.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pemaju nafi jadi dalang sebalik rusuhan]