Ajaran sesat kanser dalam masyarakat

Iklan

SIAPA sangka dalam kesibukan menghadapi wabak Covid-19, tiba-tiba negara dikejutkan dengan penangkapan seorang lelaki yang pernah mendakwa dirinya sebagai ‘Rasul Melayu’.

Lebih mengejutkan, 16 pengikutnya yang ditahan berusia antara 14 dan 70 tahun di tiga lokasi berasingan di Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedangkan jika dilihat perwatakan ‘Rasul Melayu’ itu, pastinya kita akan tertanya-tanya, gila isim apakah orang ini mengaku ‘Rasul Melayu’.

Iklan
Iklan

Namun, isu ini mungkin nampak melucukan dalam kalangan masyarakat tetapi sebenarnya, ia amat serius kerana membabitkan akidah sebagai orang Islam yang berpegang kepada mazhab Ahli Sunnah Waljamaah.

Itu baru 16 orang yang ditahan dan mungkin ada ramai lagi yang berada di luar sana tetapi menyembunyikan status mereka sepertimana yang dilakukan pengikut Syiah yang dilihat mempunyai sokongan ramai berdasarkan setiap kali tangkapan dilakukan JAIS.

Iklan

Malah, pada tahun 2005 negara kita gempar dengan ‘Kerajaan Langit’ yang dipimpin Ayah Pin atau nama sebenarnya, Ariffin Muhamad, 74, sebelum dia meninggal dunia kerana sakit tua pada 22 April 2016.

Seperti ‘Rasul Melayu’, dia dibebaskan pada tahun 2016 kemudian mengisytiharkan dirinya bertaubat serta menandatangani Dokumen Pengisytiharan Taubat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Iklan

Agama Islam adalah agama rasmi yang jelas tertulis dalam Perlembagaan Persekutuan dan dalam sistem pendidikan pun, ada subjek Pendidikan Islam sejak dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

Maka, sudah pastinya ada kelompongan dalam sistem sedia ada termasuk institusi keluarga hinggakan berlakunya penyimpangan akidah yang menyebabkan mereka yang kurang ilmu agama boleh terpengaruh hingga ada yang taksub.

Kerjasama

Dua tahun lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri mendedahkan JAIS mendapati sebanyak 19 daripada 39 kumpulan ajaran sesat yang dikenal pasti masih bergerak aktif.

Isu ajaran sesat ini umpama kanser dalam masyarakat, jika tidak dirawat sudah pasti akan merebak lalu merosakkan pegangan agama Islam anak cucu kita.

Kerajaan kini dilihat serius bagi mengawal dan memastikan ajaran sesat dapat diatasi apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerjasama akan dilaksanakan antara pihaknya dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan JAIS.

Sementara itu, kenyataan Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan juga diperkukuhkan dengan komitmen yang dizahirkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional akan lebih sensitif dan responsif terhadap suara NGO Islam.

Muhyiddin berkata, ada pemimpin NGO Islam menyuarakan kebimbangan kepadanya mengenai cabaran besar yang sedang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia, antaranya berkaitan perkembangan baharu dalam pemikiran dan cara hidup masyarakat yang dilihat mengancam akidah dan akhlak umat Islam.

Melihat kesungguhan kerajaan dalam memastikan kesucian agama Islam dipertahankan dan diperkasakan maka usaha ini perlu dilakukan supaya tiada ahli keluarga yang menjadi mangsa ajaran sesat.

Bagaimanapun, usaha ini bukan sahaja terletak pada bahu kerajaan atau pemimpin agensi berkaitan Islam tetapi juga kepada semua masyarakat Islam kerana dengan kerjasama ini, sudah pastinya dapat dibanteras secara berhemah dan mendidik.

Sudah tiba masanya, semua pihak berkaitan agama Islam termasuk jawatankuasa masjid dan surau, komuniti penduduk, jawatankuasa-jawatankuasa kampung dan persatuan-persatuan ‘mak cik bawang’ bersama-sama berganding bahu memastikan kanser akidah ini dapat dirawati dan dikekang.

* Petah Wazzan Iskandar ialah Web Master Sinar Online