Kerajaan cari jalan turunkan kos sara hidup di Sabah, Sarawak

Iklan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir pada ceramah perdana Gabungan Rakyat Sabah di Kampung Sendil, Putatan hari ini. - Foto Bernama

PUTATAN - Kerajaan akan mengkaji dan mencari jalan untuk membantu menurunkan kos sara hidup di Sabah dan Sarawak.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi untuk mengkaji kenapa kos di Sabah dan Sarawak sentiasa tinggi dari Semenanjung.

Iklan
Iklan

Katanya, perkara itu telah dibincangkan dalam Kabinet baru-baru ini kerana beliau sentiasa memantau bagaimana rakyat di Sabah dan Sarawak perlu membayar sesetengah barang dengan harga yang lebih tinggi dari Semenanjung.

"Adakah ini kerana polisi atau pun di sini ada peniaga yang sengaja mahu mengambil untung banyak, atau ada masalah pengangkutan ke tempat jauh-jauh?

Iklan

"Ini akan dikaji oleh kerajaan Persekutuan dan nanti saya nak minta laporan cara bagaimana kita boleh mencari jalan dan ikhtiar untuk menentukan kos hidup di Sabah dan Sarawak dapat kita turunkan," katanya ketika berucap pada Program Ceramah Perdana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Bakut View, Kampung Sendil, sebentar tadi.

Katanya lagi, untuk mengatasi perkara itu juga pelbagai strategi akan dilaksanakan termasuk dengan mengeluarkan lebih banyak bahan makanan.

Iklan

"Saya rasa Sabah ada banyak tanah, ada sungai, laut, hutan belantara, ada tanah yang terbuka luas, kalau pun tak dibuka di bawahnya, di atas boleh kita gunakan untuk tanam apa saja.

"Kalau lebih, kita jual kepada Hong Kong, China dan sebagainya... Tetapi yang penting adalah untuk membekalkan bahan makanan yang mencukupi untuk rakyat Sabah dengan harga yang berpatutan," katanya.

Muhyiddin berkata, beliau turut memahami masalah infrastruktur yang dihadapi di Sabah dan Sarawak.

"Ramai yang pakai kenderaan sendiri tetapi terpaksa menggunakan jalan-jalan kayu balak, jalan yang penuh becak. Saya lihat dengan mata saya sendiri bukan saja di Sabah, di Sarawak masalah infrastruktur masih isu yang besar.

"Kalau setakat kerajaan negeri bina jalan boleh bina, tetapi binanya tidak banyak, perlu ada sokongan dan dokongan daripada kerajaan pusat supaya lebih banyak jalan-jalan akan dibangun dan dibina.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri melalui GRS dan Perikatan Nasional (PN) akan sehaluan dengan persekutuan bagi memudahkan untuk membangunkan negeri ini.

Terdahulu, hadir sama dalam program itu adalah Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup.

Selain Itu turut hadir Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah merangkap Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Hajiji Noor, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong.