BELURAN - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu golongan petani, penternak dan nelayan di daerah ini menjadi pelopor sektor pertanian moden di negara ini dengan memaksimumkan penggunaan teknologi.
Muhyiddin berkata, ketika menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini, beliau menjadikan sektor pertanian sebagai perniagaan untuk memajukan kumpulan masyarakat di luar bandar.
"Ia bukan mengenai pertanian sebaliknya menambah pendapatan. Kalau hasil bagus, guna alat pertanian baik, pakai baja, racun serangga dan benihnya elok, akhirnya boleh meningkatkan pendapatan.
"Apa lagi dengan keadaan sekarang yang mana teknologi digunakan, dron digunakan, saya mahu golongan petani, peladang, nelayan Beluran jadi orang pertama memodenkan sektor pertanian kerana menterinya (berasal) dari sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ramah Mesra YAB Perdana Menteri di tapak pasar tamu Pekan Beluran di sini semalam.
Muhyiddin berkata, beliau juga sedar mengenai masalah rakyat di negara ini terutama yang tinggal di luar bandar dan pedalaman yang sebahagian besarnya adalah petani, nelayan, peladang dan pekebun kecil yang terlibat dalam pengeluaran bahan makanan.
Katanya, golongan itu masih hidup dalam keadaan susah dan sebahagian besar adalah kumpulan B40 yang memerlukan bantuan kerajaan.
"Sebab itu, kita menyediakan satu lagi tambahan menerusi program Kita Prihatin untuk membantu rakyat di bawah dengan bantuan tambahan berjumlah RM1,000, RM600 dan RM300 untuk orang bujang agar mereka boleh menyara keluarga,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, peruntukan sebanyak RM10 bilion menerusi Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin adalah demi pertumbuhan ekonomi rakyat termasuk di luar bandar.
Katanya, peruntukan itu sekali gus mampu mengurangkan kesengsaraan rakyat khususnya golongan peladang, penternak dan nelayan di luar bandar dan pedalaman.
"Golongan ini yang sebahagian besar tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman memerlukan sentuhan kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.
"Kita berharap bantuan menerusi peruntukan ini dapat merancakkan semula aktiviti pengeluaran makanan dan memulihkan kembali pendapatan peladang, penternak dan nelayan yang terjejas akibat Covid-19. Kerajaan yang berfungsi inilah perlu kita tegakkan,” katanya.