GERGASI Sepanyol, Barcelona mahu melunaskan misi balas dendam dalam saingan La Liga dan Liga Juara-Juara musim ini.
Pemain tengah kelab Catalan itu, Miralem Pjanic berkata, Barcelona perlu bangkit dan tidak boleh terus dipalit dengan rasa kecewa selepas kegagalan meraih sebarang trofi dalam saingan musim lalu.
Barcelona memulakan musim 2020/2021 bersama semangat berbeza dengan kehadiran pengendali baharu Ronald Koeman selain beberapa pemain yang direkrut termasuk Pjanic yang akan menjadi tonggak utama Blaugrana musim ini.
Pjanic menyifatkan motivasi rakan-rakannya berada pada tahap terbaik dan sudah bersedia untuk mengharungi musim baharu dan kembali menjadi seperti Barcelona yang digeruni sebelum ini.
"Semua pemain sangat bersemangat dan apa yang mereka katakan kepada saya, sesi latihan juga banyak yang sudah berubah. Pasukan ini mahu membalas dendam apa yang terjadi ketika tewas kepada Bayern Munich di Lisbon.
"Sasaran kami adalah melangkah setapak demi setapak, dimulai dengan saingan liga yang sudah tentu tidak akan mudah. Seterusnya ke saingan Liga Juara-Juara yang akan ada lima hingga enam calon juara.
"Apa yang penting adalah kami kena konsisten dan dalam masa yang sama menyedari misi utama kami adalah untuk kembali menjadi sebuah pasukan digeruni di dunia," katanya.
Barcelona menutup saingan musim lalu dengan kekalahan memalukan di Liga Juara-Juara apabila dibelasah Bayern 2-8 dalam aksi suku akhir.
Kekalahan tersebut menjadi sejarah terburuk dalam sejarah Barcelona yang turut menyaksikan pengendali pasukan itu Quique Setien dipecat.
Kegagalan itu juga menyaksikan Barcelona mengakhiri musim 2019/2020 tanpa trofi selepas turut gagal mempertahankan kejuaraan La Liga yang dimenangi Real Madrid.