KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan tiada pengundi hantu pada pengundian Pilhan Raya Negeri (PRN) Sabah esok.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kesemua data pemilih yang didaftarkan pihaknya diperoleh dari Jabatan Pendataran Negara (JPN).
"Maknanya mereka terdiri dari warga Malaysia, jadi tidak timbul ada pengundi halimunan dan sebagainya, data kita adalah data rasmi dengan semua mereka yang kita daftarkan adalah warganegara Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan di pusat penjumlahan rasmi undi N26 Moyog di Pusat Kebudayaan Penampang, dekat sini, hari ini.
Katanya, setakat ini persiapan akhir bagi hari pengundian berjalan lancar di seluruh negeri dan meminta pengundi untuk tidak lupa membawa kad pengenalan selain mengikuti jadual masa mengundi yang disarankan.
Abdul Ghani berkata, pihaknya juga menggunakan sebanyak 20 unit helikopter bagi membawa peti undi ke kawasan-kawasan pedalaman di negeri itu.
Jelasnya, antara kawasan terlibat ialah di Sekolah Kebangsaan Saliliran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan dan Pulau Dinawan yang terletak di DUN Sulabayan.
"Sekiranya cuaca tidak mengizinkan untuk helikopter bergerak, kita akan menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau bot bagi memastikan semua peralatan pilihan raya sampai ke lokasi,” katanya.
Berhubung keputusan penuh pilihan raya, Abdul Ghani berkata, ia bergantung kepada Pegawai Pengurus (RO) di kawasan masing-masing.
"Kalau boleh jam 10 malam sudah ada keputusan penuh tapi bergantung kepada kesemua RO...kalau awal dapat kita maklumat, keputusan dapat kita maklumkan dengan awal,” katanya.
Seramai 1,088,711 orang daripada 1,103,646 orang pengundi biasa layak mengundi esok manakala seramai 14,935 orang telah mengundi secara pos. - Bernama