SHAH ALAM - Semua garam halus atau garam yang beratnya 20 kilogram atau kurang perlu ditambah dengan iodin sebelum dijual di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peraturan itu dikuat kuasa di seluruh negara pada 30 September ini berdasarkan pindaan Peraturan 285 berkaitan Garam Halus Beriodin atau Garam Beriodin di bawah Peraturan- Peraturan Makanan 1985 yang telah diwartakan pada 12 November 2018.
"Pindaan peraturan ini adalah susulan daripada hasil dapatan Tinjauan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan yang menunjukkan 48.2 peratus kanak-kanak sekolah rendah berumur 8-10 tahun mengalami masalah kekurangan iodin.
"Sebanyak 2.1 peratus kanak-kanak mengalami masalah goiter. Bagi Tinjaun melibatkan wanita hamil dan murid sekolah, pengambilan iodin juga tidak mencapai paras optimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kegagalan mematuhi pindaan Peraturan 285 adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan pengilang dan penjual boleh dikenakan denda tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih dari dua tahun.
Noor Hisham berkata, pelaksanaan Pengiodinan Secara Universal di Malaysia (USI) dapat membantu meningkatkan pengambilan iodin dalam kalangan masyarakat memandangkan garam merupakan bahan asas yang digunakan di semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira status pendapatan.
"Pihak KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kepatuhan peraturan ini setelah ianya dikuatkuasakan.
"Pada masa yang sama, pengguna juga diingatkan bahawa pengambilan garam tidak perlu ditingkatkan kerana garam secara berlebihan di dalam makanan pula boleh menjurus kepada penyakit tidak berjangkit yang lain misalnya hipertensi (darah tinggi),” katanya.
Sebelum ini peraturan yang sama telah dikuatkuasakan di negeri Sabah dan kini diperluas di seluruh negara.