Nelayan hilang dipercayai terjatuh bot

Iklan
Bot dinaiki mangsa dibawa ke jeti Kampung Marhum selepas ditemui dalam keadaan enjin masih hidup tanpa pemandu di lokasi kira-kira 1.5 kilometer dari jeti berkenaan semalam.- Foto: Ihsan Bomba

PEKAN - Seorang nelayan dilaporkan hilang dipercayai terjatuh dari bot dinaiki di sungai Kampung Marhum di sini semalam.

Mangsa, Mohd Jefri Bakri, 32, dari Kampung Kuala Pahang dilaporkan keluar rumah kira-kira jam 8 pagi dipercayai untuk ke rumah rakannya di Kampung Jawa di sini dengan menaiki sebuah bot getah.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun bot yang dinaiki dijumpai oleh seorang nelayan sungai pada jam 9.57 pagi dalam keadaan enjin masih hidup tanpa pemandu di lokasi kira-kira 1.5 kilometer dari jeti Kampung Marhum.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga mangsa berhubung kehilangannya pada jam 8.40 malam tadi.

Iklan

"Difahamkan keluarga menyedari kehilangan mangsa kira-kira jam 7 petang. Keluarga lewat menyedarinya kerana penemuan bot yang dinaiki lelaki itu tidak dimaklumkan kepada sesiapa kerana individu yang menemuinya menyangka ia milik syarikat pengendali pasir yang hanyut.

"Selepas menyedari kehilangan itu, pihak keluarga bersama beberapa orang kampung cuba mencarinya, namun gagal lalu melaporkan kepada pihak polis untuk bantuan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Iklan

Menurutnya, selepas laporan diterima, pihaknya bersama bomba dan penduduk menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Mangsa masih belum ditemui dan usaha mencarinya diteruskan hari ini," katanya.