Ugut sebar gambar bogel jika tak bayar RM10,000

Iklan
Saiful Azly (tiga dari kiri) menunjukkan barangan yang digunakan sindiket pemerasan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

KUALA LUMPUR - Dua wanita dipercayai menjadi dalang sindiket pemerasan melalui panggilan video berunsur lucah antara lima individu ditahan di Taman Indah Perdana di sini 31 Julai lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, kes itu terbongkar setelah polis menerima satu laporan pada hari yang sama daripada seorang lelaki mendakwa dia telah diugut oleh sindiket itu untuk menyebarkan video separuh bogel miliknya.

Iklan
Iklan

"Akibat takut dengan ugutan tersebut, mangsa telah memindahkan sebanyak RM7,000 ke dalam akaun milik suspek.

"Suspek yang tidak berpuas hati telah meminta tambahan sebanyak RM3,000 jika mahu video itu dipadamkan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Iklan

Saiful Azly berkata, susulan daripada laporan itu, pihaknya telah menahan kesemua suspek berusia 22 hingga 30 tahun itu.

"Kita turut dirampas beberapa unit komputer riba, telefon bimbit dan kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank.

Iklan

"Semakan lanjut mendapati terdapat 12 laporan berkaitan dengan modus operandi sindiket itu," katanya.

Menurutnya, sindiket yang dikesan bergiat aktif lebih setahun lalu itu menggunakan profil palsu di aplikasi media sosial untuk memerangkap mangsa.

"Wanita berkenaan berperanan 'memancing' mangsa membuat panggilan video dan memaksa mangsa berbogel dalam panggilan video itu.

"Suspek akan membuat ugutan melalui WhatsApp untuk menyebarkan gambar bogel mangsa serta meminta wang tunai sebanyak RM10,000," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA) bagi membekukan empat akaun bank dengan jumlah hampir RM500,000.

Dalam perkembangan berasingan, Saiful Azly memaklumkan, seramai empat lelaki ditahan secara berasingan di sekitar Lembah Klang sejak Januari hingga Julai lalu kerana disyaki terlibat dengan jenayah pedofilia.

Menurutnya, tangkapan kesemua suspek berusia 29 hingga 61 tahun itu adalah berdasarkan maklumat dan hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta agensi lain di dalam dan luar negara.

"Kita telah memantau laman web yang mengandungi unsur pornografi melibatkan kanak-kanak dan seterusnya mengesan serta melakukan tangkapan ke atas suspek yang mengakses laman web tersebut," katanya.

Saiful Azly berkata, pihaknya turut merampas peralatan yang digunakan suspek untuk melayari laman web lucah itu antaranya komputer riba, komputer, monitor LCD, pemacu keras, modem, papan kekunci dan tetikus.

"Kesemua peralatan yang dirampas itu telah dihantar ke Forensik Polis Diraja Malaysia dan SKMM untuk dianalisa," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek yang terdiri daripada ahli perniagaan, pekerja peronda lebuhraya, juruteknik IT dan penganggur itu melayari laman web lucah yang mengandungi gambar dan video pornografi kanak-kanak untuk kepuasan nafsu songsang masing-masing.

"Kita telah menuduh satu kes di mahkamah pada 7 Ogos lalu di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017.

"Manakala tiga lagi kes masih di dalam siasatan dan menunggu laporan forensik serta SKMM sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.