PIALA AFF 2020 antara kejohanan yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) kini dijadualkan semula dari 11 April hingga 8 Mei tahun depan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) berkata, keputusan terkini itu diambil dengan matlamat untuk menganjurkan kejohanan itu dalam format sepenuhnya iaitu bermain di tempat sendiri dan di tempat lawan di seluruh negara Asia Tenggara yang layak.
AFF memaklumkan, selepas berbincang dengan ahli gabungannya dan pihak berkuasa berkaitan yang lain, Jawatankuasa Pasukan Petugas Piala Suzuki AFF membuat keputusan bahawa tarikh baharu itu mampu disesuaikan dengan jadual perlawanan tempatan.
Bagaimanapun, AFF akan terus memantau keadaan dengan rapi bagi memastikan keselamatan dan kebajikan semua pemain, jurulatih, rakan kongsi, peminat dan orang ramai.
Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berharap pengumuman tarikh baharu itu akan memberikan penjelasan untuk rakan komersialnya termasuk penaja dan penyiar media untuk membuat perancangan dalam keadaan yang tidak menentu ini.
"Kami semua menyedari perjuangan memerangi pandemik global masih belum berakhir, kami optimis dan berhati-hati supaya kejohanan itu berlangsung dalam format lengkap kerana kami berhasrat menyajikan yang terbaik di ASEAN dalam kejohanan itu tahun depan.
"AFF dan ahli-ahli persatuan kami mengucapkan terima kasih kepada semua peminat kami, pemain, jurulatih, pegawai, media dan rakan kongsi lain atas komitmen dan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi walaupun berhadapan cabaran, katanya.
Piala AFF, kejohanan bola sepak yang terbesar dan paling berprestij di Asia Tenggara, pada mulanya dijadualkan pada November dan Disember tahun ini tetapi terpaksa ditangguhkan pada tahun depan akibat wabak Covid-19.
Thailand adalah pasukan paling cemerlang pada kejohanan itu apabila muncul juara sebanyak lima kali (1996, 2000, 2002, 2014 dan 2016), manakala Malaysia muncul juara pada edisi 2010 di bawah bimbingan Datuk K Rajagobal. - Bernama