SHAH ALAM - Pihak pembelaan perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa saksi pendakwaan ke-28 terpengaruh dengan pelbagai teori semasa memberi keterangan.
Peguam bela Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika menyoal balas bekas pemandu peribadi Nazrin, Muhammad Nabil Faqih, 28, berkata, dakwaan bahawa kematian Nazrin berpunca daripada letupan telefon bimbit hanya diperkatakan selepas bedah siasat pertama selesai.
"Kamu (Muhammad Nabil) memberitahu mahkamah, semasa kamu sampai di tempat kejadian kira-kira jam 2 petang, anak tiri arwah (Nazrin) memaklumkan kepada kamu bahawa kematian Nazrin adalah akibat letupan telefon bimbit.
"Tahukah kamu bahawa teori ini hanya keluar selepas bedah siasat dijalankan?” soal Muhammad Shafee di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.
Menurutnya, pihak pembelaan berpendapat Muhammad Nabil telah mencampuradukkan perkara yang berlaku semasa berada di rumah Nazrin dengan apa dibacanya menerusi media sosial terutamanya di akaun laman Facebook ‘Justice For Nazrin’ dan ‘Memories of my Beloved brother arwah Ying-Nazrin’.
Bagaimanapun Muhammad Nabil menepis dakwaan berkenaan dan kekal dengan keterangan bahawa anak tiri Nazrin ada memberitahunya, kejadian kebakaran di bilik tidur Nazrin adalah akibat letupan telefon bimbit.
Muhammad Shafee dalam soal balasnya turut mempertikaikan masa kehadiran Muhammad Nabil ke rumah Nazrin pada hari kejadian.
Muhammad Nabil dalam keterangannya terdahulu menyatakan beliau tiba di rumah Nazrin di Mutiara Damansara antara jam 1.30 tengah hari hingga 2 petang dan berdiri di pintu bilik yang terbakar itu sambil berkata, dia tidak melihat mayat Nazrin kerana sudah dibawa ke hospital.
Muhammad Shafee berkata, berdasarkan laporan bomba dan polis, mayat Nazrin hanya dibawa keluar daripada rumah berkenaan pada kira-kira jam 4 petang dan dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.
Pada 12 Mac 2019, Samirah Muzaffar, 45, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 dan 14 tahun, didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari membunuh mangsa.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam 13 Jun dan 4 pagi 14 Jun 2018.
Perbicaraan bersambung 2 Oktober ini. - Bernama