Selamat mengundi rakyat Sabah

Iklan

KOTA KINABALU - Seramai 1.08 juta pengundi menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuka sebanyak 741 pusat mengundi dan 2,540 saluran untuk tujuan pengundian bersama seramai 28,656 petugas bagi proses pengundian itu.

Iklan
Iklan

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya melakukan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya bagi kegunaan proses pengundian pada hari ini.

Abdul Ghani turut menasihatkan supaya pengundi keluar mengundi mengikut masa mengundi yang digalakkan.

"Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan, mereka masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang atau waktu yang telah diwartakan.

Iklan

"Namun demikian, pengundi dinasihatkan tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir,” katanya.

Beliau berkata, SPR turut mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi.

Iklan

"Mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, tempoh waktu mengundi yang disarankan bertujuan mengelak aktiviti berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakkan fizikal ketika berada di pusat mengundi.

Menurutnya, ia selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak koronavirus (Covid-19) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Bagi pengundi yang menerima kad pengundi atau sudah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu membuat semakan di barung semakan SPR. Pada kad pengundi, SPR meletakkan maklumat masa keluar mengundi yang digalakkan bagi setiap pengundi,” katanya.

Beliau berkata lagi, bagi pengundi yang tidak menerima kad pengundi kerana telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran membuat semakan awal.

"Semakan boleh dibuat melalui saluran portal semakan daftar pemilih https:/pengundi.spr.gov.my; Aplikasi MySPR Semak; Hotline SPR di talian 03-8892 7018, atau SMS ke 15888 (taip SPRNO. KAD PENGENALAN,” katanya.

Banyak penjuru punca pecah undi

Sementara itu, Penganalisis politik, Dr Romzi Ation berpendapat, saingan pelbagai penjuru pada pilihan raya tidak semestinya sesuatu yang baik kerana calon pilihan atau terbaik mungkin tersingkir.

Beliau berkata, apabila muncul ramai calon, potensi memecah undi akan berlaku dan calon yang tidak sesuai atau layak akhirnya menang.

"Rakyat tahu keadaan seperti itu tidak sihat walaupun mereka tidak dapat bersetuju dengan punca penyebabnya,” kata penyelidik politik daripada Universiti Malaysia Sabah itu di sini.

Beliau mengulas mengenai kehadiran 447 calon termasuk 56 calon Bebas merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dengan purata enam calon bagi satu kawasan pilihan raya.Menurutnya, pemecahan undi boleh membawa akibat lain seperti perpecahan, polarisasi pemilih serta meninggalkan kepahitan dan sikap tidak mempedulikan dan sinis.

Romzi berkata, ramai calon merebut sesebuah kerusi DUN boleh menyebabkan dilema dalam kalangan pengundi.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini memperlihatkan dua gabungan parti terbesar − Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan Plus serta lapan lagi parti bertanding dengan kerusi DUN Bengkoka menyaksikan persaingan terbanyak iaitu 11 penjuru.