Muhyiddin giat bantu jentera PN, GRS hari terakhir kempen

Iklan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi ucapan ketika hujan lebat pada majlis ramah mesra Perdana Menteri bersama pengundi Tamparuli Kampung Sungai Damit hari ini. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Memasuki hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin giat turun padang bagi membantu memenangkan calon daripada Perikatan Nasional (PN) dan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menerusi status yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, perdana menteri memaklumkan beliau memulakan kempen hari terakhir itu dengan menghadiri program Rapat Umum dan Semarak Perikatan Nasional yang diadakan di Dewan Pisompuruan, Tambunan.

Iklan
Iklan

Majlis rapat umum itu disertai oleh lapan calon melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjong; Sook; Tulid; Liawan; Bingkor; Paginatan; Moyog; dan Tambunan.

"Berdasarkan semangat dan kehadiran masyarakat setempat, saya yakin calon daripada PN dan gabungan GRS menepati kehendak pengundi dan mampu memenangi kerusi yang ditandingi,” katanya menerusi laman sosial berkenaan.

Iklan

Selepas itu, Muhyiddin turut mengambil kesempatan menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Imam, Tambunan serta meluangkan masa bertanya khabar jemaah selain menurunkan tanda tangan pada buku pelawat sebelum bergerak ke beberapa lagi lokasi lain.

Beliau turut mendoakan semua calon PN dan calon dalam GRS akan dipilih oleh pengundi sebagai wakil bagi kawasan mereka pada hari pengundian esok.

Iklan

Lebih sejuta rakyat Sabah akan keluar mengundi esok pada pilihan raya itu yang berlangsung dalam suasana pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

PRN Sabah ke-16 menyaksikan sejumlah 447 calon daripada 15 parti politik termasuk 56 calon Bebas bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam persaingan banyak penjuru dengan purata enam calon bagi setiap kawasan. - Bernama