KOTA BELUD - Hasrat kerajaan mahu mengurangkan jurang kemiskinan dengan menambah pendapatan pekebun kecil berjaya dicapai menerusi Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang dilaksanakan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Sharif berkata, hasil lawatannya di Sabah selama seminggu, beliau mendapati Program AET semakin mencapai sasaran apabila ramai pekebun kecil di bawah RISDA Sabah telah menerima manfaatnya.
"Di Sabah, kita ada peruntukan sebanyak RM1 juta dan kita telah belanja sebanyak RM600,000.
"Insya-ALLAH pada tahun depan, peruntukan untuk Sabah akan ditambah lagi kerana kita lihat sambutannya amat luar biasa. Ramai anak muda yang boleh menjadi pelapis kepada pekebun kecil bagi menjana pendapatan mereka melalui Program AET,” katanya kepada pemberita selepas melawat dua lokasi Program AET di Kampung Kuala Abai dan Kampung Kota Belud di sini kelmarin.
Beliau berkata, pekebun kecil di Sabah mempunyai kesungguhan untuk menjadi usahawan dan sekali gus memajukan produk yang mereka hasilkan.
"Kita sedar bahawa kita kekurangan makanan dan mengimport makanan mentah seperti beras, tepung dan sebagainya. Kita tidak mahu kebergantungan dan kita mahu hasil lain dapat dibuat sendiri.
"Menerusi lawatan pada hari ini (kelmarin), terdapat dua lagi Program AET yang berjaya dilaksanakan pengusaha menerusi projek rekreasi pelancongan di Pantai Rang Bulan dan ternakan itik,” katanya.
Mohd Salim berkata, sasaran RISDA bagi memastikan pekebun kecil tidak bergantung kepada satu hasil sahaja iaitu getah dan mendapat pendapatan sehingga RM4,000 sebulan berjaya dicapai.
Menurutnya, kedua-duanya perusahaan yang dilawati berjaya meraih pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan.
"Kita tidak mahu pekebun kecil mengharapkan pendapatan daripada getah sahaja. Mereka harus kreatif dan inovatif untuk mempelbagaikan produk.
"Kita tahu getah pada musim tengkujuh sukar untuk mendapat hasilnya, jadi apabila ada aktiviti hiliran yang dilakukan seperti ternakan itik dan keluarkan telur sebagai hasil, ia boleh menjadi satu pendapatan lain, malah produk itu pula dapat dipelbagaikan seperti itik salai dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, begitu juga dengan pekebun kecil yang mengusahakan inap desa yang berdepan cabaran ketika pandemik koronavirus (Covid-19).
"Aktiviti pelancongan terkesan dan tiada pendapatan tetapi mereka menghadapinya dengan melakukan aktiviti bagang ikan bilis untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Pada masa yang sama, Mohd Salim berkata, RISDA bukan sahaja membantu dari segi peruntukan tetapi juga menerusi bimbingan supaya usahawan dapat menguruskan perusahaan mereka dengan lebih baik dan teratur.
Menurutnya, pegawai RISDA akan memberikan khidmat dan nasihat kepada pekebun kecil yang melakukan perusahaan AET supaya mereka tidak mudah berputus asa dan dapat menguruskan perusahaan dengan lancar termasuk dari segi pengurusan akaun dan sebagainya.
Sementara itu, Mohd Salim berkata, seramai 361 pekebun kecil di Sabah telah menerima manfaat menerusi program dan peruntukan yang disalurkan oleh RISDA.
"Di Kota Belud sahaja, seramai 11 orang menerima manfaat pada tahun ini dan seramai 43 orang untuk seluruh Sabah. Jumlah keseluruhan sejak tahun 2016 sehingga kini adalah seramai 361 orang yang sudah berjaya,” kata beliau.