Waris nelayan lemas terima manfaat SKSPS

Iklan
Mohammed Azman menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat kepada Mohamad Haris (dua dari kiri) di Kampung Kuala Segantang Garam, Merbok semalam.

SUNGAI PETANI - Mangsa lemas ketika pulang menangkap ikan di Segantang Garam, Merbok merupakan kes pertama membabitkan nelayan yang menerima Faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di negara ini.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, waris kepada mangsa, Allahyarham Zulkifli Mohamad, 52, adalah penerima pertama membabitkan Bencana Pekerjaan Sendiri sejak skim berkenaan diperluaskan kepada golongan terbabit tahun ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan rekod, mangsa telah mencarum SKSPS pada 15 Ogos 2020, bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 ketika menjadi nelayan dan pernah bekerja sebagai pemandu lori dengan beberapa syarikat sebelum ini membolehkan dia membuat caruman menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

"Semakan mendapati Allahyarham Zulkifli memenuhi syarat kelayakan dan melayakkan waris, Muhammad Danial Ikmal, 18, dan Nur Diyana Basirah, 15, menerima faedah di bawah kedua-dua skim iaitu Faedah Orang Tanggungan sebanyak RM567 sebulan dan Faedah Pencen Penakat sebanyak RM804.37 sebulan sehingga berumur 21 tahun atau sehingga mereka berkahwin.

Iklan

"Anak sulung Allahyarham, Mohamad Haris, 27, pula menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000,” katanya ketika hadir membuat penyerahan kepada waris mangsa di Kampung Kuala Segantang Garam di sini semalam.

Muhammad Danial dan Nur Diyana menerima faedah yang disampaikan Mohammed Azman (dua dari kanan) semalam.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa SKSPS, Ahmad Yahya; Timbalan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kedah, Fairus Ariffin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seorang nelayan lemas selepas terjatuh akibat dilanggar sebuah bot yang dipandu laju ketika pulang menangkap ikan berdekatan muara Jeti Pengkalan Segantang Garam dalam kejadian pada 18 September lalu.

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, mangsa telah berdaftar dan membuat caruman untuk setahun sebanyak RM157.20 pada Ogos lalu membolehkan waris mangsa layak menerima manfaat.

Katanya, sejak Memorandum Persefahaman ditandatangani antara Perkeso dan LKIM pada 9 Ogos lalu, seramai 5,446 nelayan seluruh negara telah berdaftar sebagai pencarum SKSPS.