KOTA KINABALU - Peratusan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sehingga jam 11 pagi adalah sebanyak 32 peratus sejak pusat mengundi dibuka dari jam 7.30 pagi tadi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan antara 70 hingga 75 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka sehingga pusat pengundian ditutup sepenuhnya pada jam 5 petang ini.
"Saya berharap pengundi keluar mengundi kerana masa masih panjang. Ada kawasan tutup jam 2, jam 3 dan jam 5. Pengundi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan paling penting jangan lupa bawa kad pengenalan,” katanya ketika ditemui media selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac di sini.
Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada PRN ke-16.
Proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa akan dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat pada jam 5 petang ini. - Bernama