KUANTAN - Tukang rumah yang dipercayai lemas di Sungai Pahang kelmarin, Mohd Jefri Bakri, 32, pernah meluahkan rindu dan berhasrat berjumpa dua anaknya yang tinggal dengan bekas isteri.
Adik mangsa, Mohd Nawawi Bakri, 27, berkata, keinginan itu disuarakan ketika mereka berbual awal pagi kelmarin sebelum Mohd Jefri turun ke sungai untuk ke Kampung Pulau Tambun, Pekan bertujuan mengangkat barang membantu rakannya berpindah.
"Saya masih terkejut dengan berita abang yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang dekat Kampung Marhum dan terkilan apabila keinginannya untuk bertemu dua anaknya tidak kesampaian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Anak kedua daripada lima beradik itu menaiki bot getah milik adik iparnya dengan enjin 22 berkuasa kuda sendirian kira-kira jam 9 pagi untuk Kampung Pulau Tambun sebelum ditemui berpusing di tengah sungai beberapa meter dari jeti nelayan.
Katanya, Mohd Jefri seorang abang yang baik dan banyak membantu ibu mereka, Laili Jusoh, 52, selain mesra dengan adik-beradik serta ahli keluarga lain.
Sementara itu, bapa saudara mangsa Jali Ismail, 63, yang turut sama menyertai operasi mencari berkata, mangsa tidak pandai berenang selain cetek pengalaman mengendalikan bot.
Katanya, sebelum ini mangsa beberapa kali ingin meminjam bot gentian kaca miliknya untuk turun ke laut menangkap ikan, namun tidak dibenarkan.
"Saya tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam sungai kerana angin kencang ketika kejadian selain mungkin kegagalan mengawal enjin dengan sempurna.
"Dia (Mohd Jefri) menggunakan bot getah dengan enjin 22 berkuasa kuda, kegagalan mengawal enjin dengan baik boleh menyebabkan bot berpusing dan meluncur laju," katanya.
Jali yang pernah bekerja sebagai nelayan berkata, kerjasama penduduk setempat mencari mangsa di sepanjang Sungai Pahang menggunakan lebih 10 bot gentian kaca bersama agensi penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) diharap berakhir dengan kejayaan.
Katanya, penduduk kampung dan keluarga mangsa akan mengadakan solat hajat memohon supaya usaha mencari mangsa berakhir dengan kejayaan dalam masa terdekat.
"Saya berharap semua pihak dapat mendoakan operasi mencari dan menyelamat berjalan lancar," katanya.
Kelmarin, Mohd Jefri dilaporkan hilang dipercayai terjatuh dari bot dinaiki di sungai Kampung Marhum.
Mangsa dari Kampung Kuala Pahang dilaporkan keluar rumah kira-kira jam 8 pagi dipercayai untuk ke rumah rakannya di Kampung Jawa di sini dengan menaiki sebuah bot getah.
Bagaimanapun bot yang dinaiki dijumpai oleh seorang nelayan sungai pada jam 9.57 pagi dalam keadaan enjin masih hidup tanpa pemandu di lokasi kira-kira 1.5 kilometer dari jeti Kampung Marhum.