Calon bertanding puas hati SOP proses pengundian

Iklan
Hajiji Noor berpuas hati dengan perjalanan pengundian melalui SOP ketat.

TAMPARULI – Perjalanan proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini berjalan lancar dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Bagaimanapun, ia turut mendapat reaksi positif daripada beberapa calon yang bertanding ada yang menjangkakan peratusan mengundi menurun antaranya Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang selesai membuang undi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens Kiulu kira-kira jam 10 pagi tadi.

Iklan
Iklan

Wilfred yang juga calon UPKO Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu berpuas hati dengan semua proses dilaksanakan KKM dan SPR bermula dari pemeriksaan suhu sehingga proses pembuangan undi selesai.

Madius Tangau

"Semua berjalan lancar, SOP dilaksanakan juga cukup baik dan saya berpuas hati dengan semua proses ini. Tidak ada masalah untuk pengundi hadir ke pusat mengundi.

Iklan

"Saya juga berharap para pengundi untuk keluar mengundi kerana masih ada masa sehingga jam 5 petang. Tidak ada apa-apa yang harus diragui dari segi SOP, semua berjalan lancar dan jangan dengar khabar angin,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagi calon Perikatan Nasional (PN) DUN Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor turut berpuas hati dengan perjalanan pengundian melalui SOP ketat.

Iklan

"Apa yang saya dapat lihat ialah satu perjalanan pengundian yang cukup teratur dengan SOP ditetapkan.

"Saya berharap semua pengundi di sini dapat menjalankan proses pengundian dengan selamat dan sempurna sebelum ditutup jam 5 petang nanti,” katanya.

Beliau yang mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Serusup Tuaran pada jam 10 pagi tadi turut merakamkan terima kasih kepada pihak SPR dan agensi berkaitan yang melaksanakan penguatkuasaan SOP pada PRN Sabah kali ini.

Sementara itu, calon PN DUN Klias, Datuk Isnin Aliasneh turut berpuas hati dengan kelancaran perjalanan proses pengundian pada hari ini.

Beliau yang membuang undi di SK Takuli Beaufort pada jam 9.23 pagi tadi, namun menjangkakan peratusan pengundian menurun disebabkan SOP ditetapkan pihak berkuasa.

Madius Tangau

"Meskipun berdepan dengan SOP yang ketat, saya yakin para pengundi khususnya di pusat pengundian SK Takuli ini sentiasa patuh dengan peraturan ditetapkan,” katanya.

Pada proses pengundian PRN Sabah, para pengundi perlu mematuhi peraturan dengan melalui pemeriksaan suhu badan, memakai pelitup muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakkan fizikal.

Ini adalah bagi memastikan penularan wabak covid-19 dapat dikawal sepanjang proses pengundian dijalankan.