KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat pemantauan rapi terhadap ulama radikal Abu Bakar Bashir, 80, yang dijangka akan dibebaskan dengan pelepasan parol iaitu pembebasan bersyarat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, PDRM memantau perkara ini kerana dia (Abu Bakar) ada kaitan dengan emelen dan pernah terlibat dalam kegiatan militan pengganas IS dan Jemaah Islamiah (JI).
Menurutnya, pemantauan ini perlu dilakukan bagi memastikan beliau tidak terlibat dalam usaha merekrut dan menghidupkan kembali perjuangan lampau dengan isu keganasan dan kumpulan yang dikaitkan dengannya.
"Kita perlu pantau dan pihak Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sedang berhubung dengan pihak Indonesia.
"Ini bagi memastikan pembebasan ini tidak timbulkan masalah baru dalam usaha menghidupkan gerakan JI dengan elemen radikal dan ekstrem," katanya dalam sidang media di Pulapol, di sini, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Indonesia kaji semula pembebasan Abu Bakar Bashir
Sebelum ini, Presiden Joko Widodo ptelah bersetuju untuk melepaskan Abu Bakar atas alasan kemanusiaan.
Namun, pada 22 Januari lalu, Kerajaan Indonesia mengumumkan akan mengkaji semula keputusan Presiden negara itu untuk membebaskan ulama radikal Abu Bakar Bashir berikutan kritikan domestik dan antarabangsa.
Abu Bakar sebelum ini dianggap tidak memenuhi syarat untuk pembebasan parol di atas penolakannya untuk meninggalkan kepercayaan radikal.
Abu Bakar yang terlibat sebagai perancang dalam pengeboman Bali pada tahun 2002 sedang menjalani hukuman penjara memasuki tahun kesembilan daripada 15 tahun hukuman yang dikenakan ke atasnya.
Terdahulu, Mohamad Fuzi hadir menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengarah Pengurusan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan PDRM dan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara.
Dalam majlis itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dilantik sebagai Pengarah JSJK baharu, manakala Ketua Polis Kedah, Datuk Abdul Rahim Jaafar dilantik sebagai Pengarah Pengurusan, berkuatkuasa hari ini.