SUNGAI SIPUT - MIC yakin dapat memenangi semula kerusi Parlimen yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu meskipun pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat ini.
Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, keyakinan itu berdasarkan situasi politik terkini yang menunjukkan rakyat semakin meyakini kepimpinan kerajaan dahulu di bawah Barisan Nasional (BN) dan gabungan baharu di bawah Muafakat Nasional.
"Jika ada PRU memang kita yakin dapat kemenangan ke atas kerusi-kerusi yang kita hilang pada 2018 lalu.
"Cuma saya harap sistem baharu di mana Muafakat Nasional yang terdiri daripada Pas, BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini dimantapkan untuk menghadapi PRU bersama," katanya ketika ditemui pemberita di Karnival Penjana Kerjaya Kementerian Sumber Manusia Sungai Siput di Pusat Konvensyen Sungai Siput di sini hari ini.
Beliau berkata, PRU adalah pilihan terbaik kepada pentadbiran kerajaan apatah lagi ketika ini rakyat sedang berdepan dengan situasi politik yang merunsingkan.
"Ini berbalik kepada kuasa Yang DiPertuan Agong untuk membuat keputusan sama ada memberi peluang kepada ahli Yang Berhormat yang ada majoriti atau bubar.
"Di pihak MIC, jika ada PRU, kita yakin akan dapat kemenangan termasuk di kerusi-kerusi yang tewas sebelum ini," katanya.
Pada PRU14, MIC bertanding sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor), Port Dickson (Negeri Sembilan), Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).
Parti itu hanya memenangi dua kerusi iaitu Parlimen Tapah dan Cameron Highlands.
Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya memutuskan kemenangan BN bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands tidak sah dan terbatal selepas terbukti wujud amalan rasuah.
Kerusi Cameron Highlands kemudian diberikan kepada UMNO untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil tahun lalu yang menyaksikan BN menerusi wakilnya, Ramli Mohd Nor berjaya mempertahankan kerusi berkenaan.