LABUAN - Tiga warga emas, seorang mengalami kecederaan saraf tunjang manakala dua lagi berkerusi roda adalah antara pengundi yang menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan negeri baharu Sabah di Pusat Pengundian Tambunan di SK Pekan Tambunan, hari ini.
Mereka tidak pernah mensia-siakan peluang untuk mengundi sejak empat dekad lepas sama ada pada Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Negeri meskipun berdepan penyakit kronik dan keadaan kurang berupaya disebabkan peningkatan usia.
Eilee Indu, 82, yang berkerusi roda, berkata, mengundi telah menjadi sebahagian rutin hidupnya dan beliau akan terus berbuat demikian ‘selagi hayat dikandung badan.’
"Ini negeri kita dan pilihan raya ini penting untuk kita memilih pemimpin pada masa akan datang... meskipun sudah agak lama berkerusi roda, saya dan rakan saya sejak kecil telah menunaikan tanggungjawab kami untuk mengundi hari ini,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pusat Pengundian Tambunan di sini.
Rakan Eilee yang juga berkerusi roda, Mary Ogiu, 82, berkata, hak mengundi penting untuk memastikan demokrasi berfungsi dengan baik di negara ini.
"Ia (mengundi) sudah menjadi amalan hidup kami sejak di usia muda lagi, kami suka mengundi kerana kami menjalankan tanggungjawab memilih siapa yang kami rasa layak mendapat undi kami.
"Kami harap generasi muda dapat mencontohi sikap kami yang suka mengundi demi melunaskan tanggungjawab mereka untuk berbuat demikian pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Eilee dan Mary dibawa oleh saudara mereka ke pusat pengundian itu dan dibantu oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya untuk ke saluran mengundi yang terpilih.
Sementara itu, Dolaris Michael, 67, yang mengalami kecederaan saraf tunjang berkata, meskipun berdepan masalah kesihatan pada usia lanjut, beliau menganggap mengundi adalah satu kewajipan.
"Saya tidak pernah gagal menjalankan tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia... sebagai rakyat Malaysia, saya telah menerima pelbagai bantuan kerajaan dan inilah masanya untuk membuktikan kecintaan saya kepada negeri dan negara, iaitu dengan mengundi,” katanya.
Dua beradik dari Kampung Papar, Tambunan yang turut ditemu bual Bernama hari ini iaitu Eve Novenna Gustin, 30, dan Evejenevie Gustin, 24, pula berkata, mengundi adalah satu kewajipan yang harus dilaksanakan.
"Selepas mengundi, saya berasa lega dan tidak sabar menantikan keputusannya malam ini kerana kami percaya setiap undi adalah berharga,” kata Novenna. - Bernama