TIDAK RASMI Setakat 9.13 malam keputusan tidak rasmi menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) telah berjaya membentuk Kerajaan Negeri Sabah dengan kini menang di 37 kerusi.
UMNO menang 15 kerusi, Bersatu (10), PBS (6), STAR (6).
Nama-nama besar seperti Bung Moktar Radin (BN) menang di DUN Lamag, Hajiji Noor (PN) menang di DUN Sulaman dan Salleh Said Keruak (BN) menang di DUN Usukan.
Setakat ini Warisan Plus hanya mendapat 20 kerusi iaitu Warisan (13) DAP (6) PKR (1) manakala Bebas pula mendapat 2 kerusi dan USNO (1).
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebentar tadi mengisytiharkan GRS menang dalam pilihan raya kali ini setelah keputusan tak rasmi menunjukkan mereka berjaya meraih 37 daripada 73 kerusi.
Dua kerusi tambahan yang melengkapkan kemenangan itu masing-masing disumbangkan BN di DUN Tanjung Keramat dan Bersatu di DUN Membakut.
Sementara itu, Ketua BN Sabah Bung Moktar Radin turut mengisytiharkan kemenangan dan mendakwa GRS memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sabah yang mahukan perubahan," katanya di ibu pejabat Umno Sabah di Kota Kinabalu.
Pengisytiharan oleh Bung diadakan secara berasingan dengan yang dibuat oleh Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin, yang bersama pemimpin Perikatan Nasional di Hotel Magellan.
Setakat ini, Suruhanjaya Pilihan Raya belum mengumumkan keputusan rasmi.
Ikuti laporan langsung LiveBlog Sinar Harian sepanjang keputusan PRN Sabah malam ini.