Buat semua kerja asal jadi duit

Iklan
Zainal

"SAYA pernah merasai jerih perih mencari wang untuk membantu keluarga selain sering melihat pekerja bawahan ditindas sehinggakan saya nekad memperjuangkan nasib mereka,” imbau bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Tan Sri Zainal Rampak, 80, mengenai pengalaman yang tidak dapat dilupakan beliau.

Menurut anak jati Kampung Pinang, Tanjung Kling, Melaka itu, kesusahan keluarga memaksa beliau melupakan hasrat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Iklan
Iklan

"Ayah saya seorang nelayan, mak pula hanya suri rumah. Pendapatan sebagai nelayan tidak seberapa untuk menampung kami sembilan adik-beradik.

"Jadi saya dan abang nekad untuk bantu ringankan beban ayah. Apa sahaja kerja yang boleh dapat duit, saya akan buat,” katanya kepada Sinar Ahad ketika ditemui di Kolej WIT, Klang, Selangor baru-baru ini.Menceritakan kenangan pada usia remaja, Zainal berkata, beliau pernah mencuba pelbagai jenis pekerjaan seawal umur 17 tahun termasuk menjadi nelayan.

Iklan

"Bayangkan ketika orang lain masih lena tidur, saya, abang dan ayah sudah bersiap-siap turun ke laut untuk mencari rezeki.

"Bot nelayan dulu bukan macam bot sekarang, dulu pakai jaring sahaja. Jika ada hasil adalah rezeki kami. Kalau tidak, kami balik dengan tangan kosong. Saya sudah lali dengan panas terik atau bot dilambung ombak besar,” cerita beliau.

Iklan

Tambahnya, selain nelayan, beliau juga pernah menjadi penoreh getah dan pesawah padi demi sesuap nasi.

"Paling saya tak lupa ketika menjadi buruh kasar di tapak pembinaan. Setiap hari mak akan bekalkan nasi yang diletakkan dalam mangkuk tingkat.

"Saya terpaksa naik turun ke tingkat lima, angkut bancuhan simen sampai bahu saya melecet. Setiap malam mak akan sapu ubat supaya luka cepat sembuh.

Zainal menunjukkan sebahagian koleksi anugerah dan penghargaan yang diterimanya atas kegigihan memperjuangkan nasib pekerja di negara ini.

"Gaji ketika itu hanya RM14 sebulan. Tapi saya sempat bekerja dua minggu sahaja. Penatnya Tuhan sahaja yang tahu. Gara-gara terlampau penat, saya demam hampir seminggu,” kongsi beliau.

Bagaimanapun, ujarnya, kehidupannya berubah selepas menerima tawaran bekerja sebagai kerani Kesatuan Sekerja Pengangkutan (TWU) pada 1950-an.

"Gaji yang ditawarkan RM30 sebulan. Dengan gaji itulah saya beli basikal berharga RM15 yang saya gunakan untuk berulang-alik dari rumah abang di Kampung Tengah, Klang ke pejabat yang terletak di tepi Sungai Klang.

"Dulu siapa-siapa yang ada basikal ini dikira berada, kira benda mahal kalau zaman dahulu,” katanya sambil tertawa.

Rumah pernah diketuk polis

Bercerita lanjut, anak kepada pasangan Rampak Bangkut dan Gayah Ahmad itu berkata, pengalamannya ketika menguruskan hal ehwal pekerja di kesatuan berkenaan adalah detik mula beliau nekad membela nasib pekerja sektor swasta.

"Saya tidak pernah bertukar kerjaya sejak bekerja di kesatuan itu. Daripada situ saya banyak belajar hal ehwal pekerja, mengambil aduan pekerja dan bawa ke Pejabat Buruh atau pergi ke Mahkamah Buruh untuk mendengar kes. Ada kes menang, ada juga kalah,” katanya.

Bekas Senator itu memberitahu, bukan mudah untuk menjadi pemimpin kesatuan pekerja kerana memerlukan kesungguhan dan keberanian.

Zainal sendiri pernah diugut pukul dan bunuh gara-gara terlalu agresif ‘menghentam’ majikan yang menganiaya pekerja.

"Saya ingat lagi antara tahun 1993 hingga 1994, ramai pekerja mogok kerana tidak berpuas hati dengan layanan majikan.

Zainal (dua dari kiri) ketika Majlis Menandatangani MoU Kojel WIT bersama Toyota.

"Mereka sering dianiaya, gaji dipotong, ada yang kena buang sebab menyertai kesatuan. Jadi saya bermati-matian membela nasib mereka. Setiap kali mereka berpiket, saya akan pergi menyertainya. Suara lantang saya digeruni majikan.

"Pantang ada isu melibatkan kebaji-kan pekerja di negara ini, saya tidak akan berundur walau setapak untuk memperjuangkan hak mereka,” katanya.

Zainal pernah diberikan gelaran ‘Bapa Pekerja Malaysia’ oleh MTUC pada 1 Mei 1997 kerana menghargai khidmat beliau.

Cerita Zainal lagi, suatu hari ketika berada di pejabat, beliau menerima panggilan telefon daripada seseorang yang mengugut mahu menembaknya dengan pistol gara-gara tidak berpuas hati dan berdendam dengan beliau.

"Mereka mendakwa perniagaan mereka merosot disebabkan saya selalu kacau pekerja mereka supaya buat mogok sana sini. Pintu pagar dan jendela rumah saya juga dirosakkan individu tidak dikenali.

"Namun, itu semua bukan halangan untuk saya terus memperjuangkan nasib pekerja teraniaya. Saya buat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan isteri dan anak-anak,” katanya.

Zainal (kanan) selepas menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) mengenai isu pemberhentian 23 pekerja bas awam Putrajaya sambil disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan, Khalid Jali (tengah) di Putrajaya pada 15 Ogos 2018.

Tambah Zainal, rumahnya juga didatangi pasukan polis kerana menyangka beliau melindungi pekerja yang mogok.

"Pada masa itu, saya sedang berehat di rumah dan anak-anak menonton televisyen. Tiba-tiba pintu rumah saya diketuk oleh pegawai polis dari Bukit Aman.

"Rupa-rupanya mereka menerima panggilan palsu yang mendakwa saya menyimpan pekerja di rumah dan mahu melancarkan piket,” katanya.

Walaupun kini Zainal sudah bersara daripada kesatuan sekerja, namun jiwa perjuangannya masih sebati dalam diri.

"Banyak kenangan yang saya simpan sepanjang perjuangan dalam kesatuan pekerja selama kira-kira 40 tahun. Perjuangan menuntut pengorbanan, itulah harga yang perlu saya bayar.

"Tetapi kalau kita betul-betul ikhlas dan jujur, ALLAH SWT akan sentiasa melindungi kita,” katanya.