Perak raih gelaran juara Piala Tun Abdul Razak ke-10

Iklan
Pasukan Perak meraikan kejayaan muncul juara Piala Tun Abdul Razak 2020 Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini. - Foto Bernama

Perak dan Pahang masing-masing muncul juara kategori lelaki dan wanita kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak 2020 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Jaringan hatrik Muhammad Haziq Samsul membantu Perak yang dibimbing jurulatih Roslan Jamaluddin meraih kejuaraan buat kali ke-10 selepas menewaskan Terengganu 4-2 pada aksi final kategori lelaki.

Iklan
Iklan

Dalam aksi final itu, Terengganu terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit pertama perlawanan melalui pukulan sudut penalti bekas penyerang kebangsaan, Faizal Saari.

Namun, pemain meningkat naik, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mengikat kedudukan menerusi jaringan padang pada minit ke-17.

Iklan

Muhammad Haziq Samsul bertindak cemerlang apabila menjaringkan tiga gol untuk menambah derita juara dua kali itu menerusi jaringan padang pada minit ke-30, 32 dan 46.

Faizal yang tidak berputus asa untuk mengejar berjaya menghasilkan gol kedua buat Terengganu pada minit ke-59 sebelum wisel penamat dibunyikan.

Iklan

"Syukur kemenangan ini adalah hadiah untuk semua rakyat Perak. Tiga gol malam ini memang saya bagi sepenuhnya kepada pasukan. Saya sudah buat yang terbaik," kata Muhammad Haziq.

Terdahulu, pakar pukulan sudut penalti Nuraini Abdul Rashid muncul wira apabila dua gol hasil jaringannya membawa Pahang muncul juara kategori wanita selepas mengejutkan juara bertahan, Selangor 2-1.

Nuraini meledak gawang lawan seawal minit ketiga untuk meletakkan skuad bimbingan Mohamad Sabri Mohamad itu di hadapan sebelum Selangor menyamakan kedudukan hasil jaringan padang Fatin Syafikah Madh Sukri pada minit ke-20.

Memasuki babak kedua perlawanan, pertarungan antara kedua-dua pasukan semakin sengit namun Nuraini ternyata tidak mensia-siakan peluang terhidang menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-52 untuk mengesahkan Pahang selaku juara.

Kejayaan malam ini adalah yang kedua buat Pahang selepas kali pertama memenanginya pada edisi sulung 2016.

"Saya memang jangka ini perlawanan sengit. Kami akui kehebatan Selangor tapi dalam masa sama, kami ada kekuatan tersendiri. Saya rasa perlawanan akhir ini seimbang namun rezeki milik Pahang.

"Gol pertama itu kami sudah rancang apa yang perlu dilakukan bila dapat pukulan sudut penalti. Kami ikut strategi jurulatih telah rancang. Jadi, kami saling bekerjasama untuk habiskan perlawanan," kata Nuraini.