RUTIN hariannya agak padat. Selepas lebih 14 tahun berkhidmat bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan memegang pelbagai jawatan, kini beliau ialah nakhodanya.
Sudah lebih setahun Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dilantik sebagai Ketua Pengarah APMM. Banyak usaha yang dilakukan beliau untuk mengekang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta jenayah rentas sempadan, selain pencerobohan nelayan asing bagi memastikan perairan negara selamat daripada ancaman musuh.
Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Mohd Zubil turut memperincikan fungsi dan tugas APMM yang baru sahaja berusia 15 tahun, masih muda berbanding agensi penguatkuasaan lain.
Ikuti wawancara Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan Ketua Meja Jenayah, Izwan Rozlin serta wartawan Rosalwani Che Soh bersama anak kelahiran Lenggong, Perak itu di Putrajaya baru-baru ini.
SINAR AHAD: Datuk telah berkhidmat selama 24 tahun dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga tahun 2005. Bagaimana pengalaman Datuk sewaktu berkhidmat bersama TLDM dapat digunakan untuk memperkasa APMM?
MOHD ZUBIL: Saya memulakan perkhidmatan bersama TLDM pada 1 Mei 1981 dan ditukarkan ke APMM pada 1 Februari 2006. Tempoh perkhidmatan bersama TLDM adalah selama 24 tahun 9 bulan manakala bersama APMM selama 14 tahun 5 bulan. Semasa dalam TLDM, saya menjawat pelbagai jawatan sebagai staf di pangkalan dan di atas kapal.
Pada 2006, saya dilantik ke dalam perkhidmatan APMM sebagai Pegawai Operasi Wilayah Maritim Selatan berpangkalan di Johor Bahru dan mengetuai operasi mencegah rompakan di laut. Operasi ini telah berjaya menangkap dan mensabitkan hukuman di mahkamah ke atas tiga kumpulan perompak di perairan Tanjung Piai dan Pengerang, Johor pada tahun 2012 dan 2013.
Selaku pegawai operasi, saya mengetuai banyak operasi. Saya bersyukur apabila operasi-operasi yang dilaksanakan berjaya membendung aktiviti jenayah di perairan selatan Johor termasuk juga aktiviti jenayah rentas sempadan yang melibatkan pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran, penyeludupan barangan bercukai serta pencerobohan nelayan asing. Ini terbukti melalui statistik tangkapan yang direkodkan antara tahun 2011 hingga 2014 meningkat dari masa ke masa ketika bertugas di APMM Wilayah Selatan.
Apakah perasaan Datuk apabila dilantik sebagai Ketua Pengarah APMM pada 19 Ogos 2019?
Saya tidak pernah bercita-cita untuk dilantik menjadi Ketua Pengarah, apa yang saya buat dan tanggungjawab saya adalah melakukan yang terbaik bagi hala tuju sebenar APMM melalui apa yang telah ditinggalkan Ketua Pengarah terdahulu, Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar.
Sebenarnya nama saya dicalonkan Datuk Seri Zulkifli yang mahu saya terus menerajui APMM.
Kerana memikirkan tanggungjawab, maka saya menggalas amanah ini dan membawa pasukan ke arah yang sewajarnya. Sejak 19 Ogos tahun lalu, sehinggalah kini lebih setahun saya dilantik sebagai Ketua Pengarah APMM. Apa yang saya lakukan adalah berlandaskan paksi yang betul mengikut pelan pembangunan merangkumi aset, infrastruktur dan anggota supaya APMM dapat menjalankan tugas dan kuasanya dengan lancar dan berkesan sebagaimana yang termaktub dalam Akta 633.
Walaupun APMM masih baharu dan berusia 15 tahun berbanding pasukan penguatkuasaan lain, namun saya yakin ia berada di landasan yang betul. Sejak 2006 saya sudah terlibat dalam selok-belok APMM. Saya terima cabaran ini sebagai sesuatu yang positif. Perjalanan APMM kini adalah untuk terus mengekang jenayah di perairan Malaysia.
Apakah yang dilakukan Datuk sejak menerajui APMM?
Sebaik sahaja menerajui APMM pada 19 Ogos 2019, saya memberi tum puan khas kepada pembangunan kapasiti dan peningkatan keupayaan penguatkuasaan undang-undang dan carilamat.
Selaku agensi utama dalam penguatkuasaan dan carilamat di Zon Maritim Malaysia, APMM perlu dibangunkan sebagaimana Pelan Pembangunan Maritim Malaysia 2040.
Salah satu agenda utama saya pada tahun ini adalah memastikan perolehan dua buah lagi kapal NGPC (kapal peronda generasi baharu) dan sebuah OPV (kapal peronda luar pantai) dapat disiapkan
dan diterima pada tahun ini kerana ia akan meningkatkan lagi kawalan keselamatan di kawasan ZEE (Zon Ekonomi Eksklusif) dan sempadan perairan bagi mengekang ancaman penjenayah
yang sentiasa menggunakan pelbagai cara untuk membolosi perairan kita.
Dalam aspek operasi, selain operasi sedia ada, operasi-operasi khas telah dilancarkan di semua negeri bagi membanteras habis-habisan pencerobohan nelayan asing, PATI, penyeludupan dadah
dan barang-barang terlarang serta rompakan di laut.
Sebagai contoh, Ops Kuda Laut dilancarkan khusus untuk menangkap bot-bot nelayan Vietnam yang sering menceroboh perairan di pantai
timur Semenanjung dan Sarawak.
Ops Benteng pula adalah untuk menghalang dan menangkap migran yang memasuki negara secara tidak sah semasa fasa pandemik Covid-19. Seterusnya menggalakkan dan menyediakan
ruang profesionalisme pegawai dan anggota penguat kuasa APMM khasnya dalam siasatan kes-kes sindiket seperti penyeludupan migran, dadah dan rokok.
Saya juga menumpukan kepada keterampilan peribadi dan kebajikan warga APMM. Sebagai contoh, beberapa inisiatif telah dilaksanakan untuk memastikan pegawai dan anggota APMM
terhindar daripada gejala rasuah, disiplin dan lain-lain yang boleh menjejaskan prestasi APMM.
Apakah cabaran besar yang terpaksa dihadapi oleh APMM dalam menjaga perairan negara?
Kami sentiasa bersiap siaga mengekang kemasukan PATI. Namun kini apa yang lebih dibimbangi ialah PATI yang mungkin membawa wabak Covid-19 masuk ke negara ini. Buat masa ini, pihak kami memperketatkan kawalan di kawasan perairan termasuk sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan kemasukan PATI. Kemasukan PATI ketika tempoh penularan Covid-19 agak kurang berbanding sebelumnya, namun kami khuatir kemungkinan berlaku peningkatan kemasukan PATI yang membawa wabak ‘halimunan’ iaitu Covid-19 selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada musim PKP ini, kebanyakan PATI tidak mempunyai pekerjaan kerana bidang pembinaan dan perladangan tidak beroperasi sehingga ada dalam kalangan mereka mengambil keputusan pulang ke kampung halaman ekoran hilang punca pendapatan dan pekerjaan. Apa yang dikhuatirkan bagaimana keadaan nanti apabila mereka masuk secara beramai-ramai setelah PKP berakhir. Ini yang perlu kita kekang dalam usaha mengawal musuh ‘halimunan’ yang mungkin dibawa kumpulan ini dari luar dan masuk ke negara kita tanpa mereka disaring.
Perkara sedemikian perlu dipandang serius kerana kemasukan PATI secara tidak terkawal boleh menjadi punca yang boleh menggandakan angka jangkitan sekali gus boleh menggagalkan usaha kerajaan memerangi Covid-19. Sehubungan itu semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha memutuskan rantaian wabak berbahaya ini. Buat masa ini, pihak kami juga menambah penempatan aset di kawasan panas atau 'hotspot' dan terus meningkatkan pemantauan bagi menghalang negara terus dibolosi penjenayah.
Bagaimana pula dengan PATI yang masih berani masuk ke Malaysia di sebalik usaha bersungguh-sungguh APMM untuk membanteras kemasukan mereka? Apakah penyebabnya?
Sebenarnya kegiatan penyeludupan PATI adalah 'perniagaan’ yang didalangi organisasi sindiket. Ia sukar dikekang selagi khidmat orang tengah terus digunakan sebagai ejen. Namun, kita harap orang awam dapat melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika melihat sebarang kegiatan mencurigakan.
Jangan dibiarkan mereka masuk ke kawasan kampung atau lorong-lorong tikus di persekitaran kita, kerana mereka ini melakukan kesalahan jenayah menyeludup PATI. Menjadi tanggungjawab kita untuk tidak bersekongkol serta melaporkan aktiviti jenayah ini kepada pihak berkuasa. APMM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana golongan yang dikenal pasti bersekongkol dengan tekong, sama ada warga tempatan atau warga asing.
Apakah dengan aset-aset yang ada pada APMM pada ketika ini mampu untuk membanteras kegiatan jenayah di perairan negara?
Kerajaan amat serius dalam menangani semua perlakuan jenayah di perairan negara. Pelbagai usaha serta inisiatif sedang dilakukan untuk mengupayakan Maritim Malaysia dari pelbagai aspek termasuk aset laut dan udara, infrastruktur serta keanggotaan.
Kita perlukan aset yang lebih di kawasan Pantai Timur iaitu di kawasan Kelantan, Terengganu,
Pahang dan kalau kita ada kapal lebih besar, maka lebih mudah untuk kita sentiasa berkawal di lautan.
Keperluan mengupayakan APMM adalah tepat pada masanya berikutan keanggotaan APMM dalam National Task Force dan melaksanakan Ops Benteng bersama Angkatan Tentera Malay Malaysia
(ATM) dan Polis Diraja Malaysia PDRM bagi mengekang kemasukan PATI dengan mengoptimumkan asetaset laut dan udara, perkongsian maklumat serta memanfaatkan teknologi Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA).
Buat masa ini, kita turut memperkukuhkan dan bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam usaha mengekang kegiatan jenayah di perairan negara.
Bagaimanakah tindakan Datuk sekiranya ada anggota APMM terlibat rasuah?
Setakat ini saya tidak menafikan, berkemungkinan ada anggota penguat kuasa yang menerima habuan atau rasuah bagi kes penyeludupan PATI. APMM tidak akan berkompromi dalam kes rasuah seperti ini dan peringatan ini telah saya tegaskan sebaik sahaja saya mengambil alih tugas sebagai Ketua Pengarah. Saya juga sentiasa memberi peringatan tegas dan amaran buat semua warga APMM, kepada sesiapa yang mempunyai hubungan dengan pihak berkenaan termasuk tekong dan pengedar dadah agar terus putuskan hubungan atau berhadapan tindakan paling tegas akan diambil terhadap mereka.
Menjadi harapan saya agar anggota APMM tidak terlibat dalam kegiatan tidak bermoral, walaupun tugasan ini berisiko dan terdedah kepada keadaan ini tetapi sebagai penguat kuasa kita perlu mematuhi undang-undang.
Bagaimana Datuk melihat APMM pada masa depan?
Cabaran sentiasa ada pada bila-bila masa. Persoalannya bagaimana kita melihat, mendepani dan berusaha merungkaikan cabaran itu dalam situasi kesiapsiagaan. Cabaran yang kita lalui hari ini adalah pelajaran bagi kita mendepani masa hadapan termasuklah dalam membangunkan keanggotaan, kemahiran serta latihan kepakaran.
Saya melihat amat penting bagi APMM mewujudkan rangkaian jaringan kerjasama dengan negara jiran termasuklah meningkatkan keupayaan dan interaksi pelbagai hala unit risikan dalam usaha mengekang aktiviti jenayah di perairan kita. Kerjasama dengan agensi penguat kuasa dalam negara dan luar negara perlu dimantapkan lagi bagi membolehkan kita berperanan secara lebih efektif dan praktikal.
Contohnya, penggunaan jeti atau pangkalan secara bersama dan harmoni agar tidak merencatkan operasi. Dalam konteks ini, saya berpandangan adalah menjadi keperluan utama bagi APMM memiliki jeti sendiri bagi memudahkan urusan logistik dan operasi. Perkara ini perlu, kerana jika ingin berjaya kita perlu ada infrastruktur yang lebih baik dan berupaya untuk bina kawasan perumahan warga kita, kompleks dan surau serta kemudahan pasar raya kecil untuk anggota dan ini akan memudahkan kita memantau perkembangan anggota termasuk keluarga mereka. Maka kita harap pembangunan untuk anggota dan kebajikan mereka akan juga dibawa ke tengah dan ini merupakan perkara serius yang perlu diambil kira dalam usaha meningkatkan APMM ke peringkat lebih baik.
=============
ANEKDOT
Jadi pakar senjata selepas berkursus di India
Saya ialah lulusan Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan daripada Universiti Malaya pada tahun 2001. Seterusnya saya melanjutkan pengajian Sarjana Pengurusan di universiti yang sama pada tahun 2003. Saya juga mendapat pendedahan sebagai pakar persenjataan (Gunnery Specialist) setelah menghadiri kursus persenjataan di India Naval Ship Dronacharya, Cochin, India pada tahun 1990. Sepanjang berkhidmat dalam TLDM, saya telah menjawat beberapa jawatan penting antaranya Pegawai Navigasi dan Senjata kapal KD Sri Melaka yang berpangkalan di Markas Panglima Wilayah Laut Dua, Labuan dari tahun 1984 hingga 1987.
Pada waktu tersebut, kerajaan Malaysia melalui TLDM sedang giat menuntut dan membangunkan Terumbu Layang, Terumbu Ubi dan Terumbu Mantani. Saya terlibat secara langsung dalam operasi mempertahankan negara daripada tindakan berbentuk ketenteraan daripada negara-negara yang mempertikaikan tuntutan Malaysia ke atas ketiga-tiga terumbu tersebut di samping mengawal pembangunannya.
Semasa menjawat jawatan sebagai Pakar Persenjataan dan Pegawai Laksana beberapa buah kapal TLDM yang berpangkalan di Lumut, Perak, saya sering kali ditugaskan beroperasi bersama-sama kapal tersebut untuk mengawal keselamatan dan keamanan di perairan terumbu yang dibangunkan di perairan Sabah.
Saya juga terlibat secara langsung dari tahun 1993 hingga 1995 dalam Operasi Zon Ekonomi Eksklusif Selatan/Utara semasa berkhidmat bersama KD Marikh yang berpangkalan di Wilayah Laut Satu, Kuantan, Pahang bagi memastikan Zon Maritim Malaysia di perairan Laut China Selatan sentiasa selamat dan kedaulatan negara terpelihara.
Kerjaya tentera laut ubah kehidupan
Peristiwa penting yang mengubah saya ke kedudukan sekarang adalah setelah menceburkan diri dalam bidang ketenteraan. Saya melihat rakan-rakan berusaha mencapai cita-cita mereka dan terpilih masuk ke peringkat yang lebih baik, saya tanamkan azam untuk terus berjaya dan akhirnya selepas Tingkatan Lima, saya menyertai ATM apabila mendapat sokongan keluarga. Ayah saya juga seorang tentera dan saya berbangga apabila dapat menyertai pasukan TLDM, seterusnya diserap masuk ke APMM dan kini menerajui pasukan APMM.
Main golf isi masa lapang
Pada masa lapang saya bermain golf dan itulah hobi saya ketika ini, biarpun sebelum ini saya tidak meminati sukan itu. Ia bermula dengan rakan yang mengajak saya menyertainya bermain golf secara suka-suka sahaja sebelum pulang ke rumah bagi mengelak kesesakan lalu lintas. Sehinggalah akhirnya ia menjadi hobi yang saya minati. Jika ada masa luang iaitu cuti pada hari minggu, bermain golf menjadi antara hobi saya untuk mengisi waktu cuti hujung minggu.
=====
PROFIL:
Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som
Jawatan Sekarang: Ketua Pengarah APMM
Umur: 57 tahun
Asal: Lenggong, Perak
Keluarga: Isteri, Datin Nor Zaida Yazid dan dikurniakan 3 anak.
Pendidikan: Ijazah Sarjana Pengurusan, Universiti Malaya
Pengalaman: 24 tahun 9 bulan bersama TLDM manakala bersama APMM selama 14 tahun 5 bulan