Isteri, tiga pegawai MB Terengganu jalani kuarantin

Iklan
Ahmad Amzad melakukan ujian Covid-19 secara sukarela di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu malam tadi. (Foto: Facebook Haji Ahmad Amzad Hashim)

KUALA TERENGGANU - Isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman dan tiga lagi pegawai kepada Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar antara individu yang turut menjalani kuarantin wajib.

Difahamkan, mereka bersama Ahmad Samsuri ke Sabah baru-baru ini dan kini menjalani kuarantin sendiri sebaik pulang dari negeri berkenaan.

Iklan
Iklan

Tuan Faezah dan tiga pegawai itu juga sudah menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RRT-PCR) Covid-19 dan disahkan negatif pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, mereka perlu menjalani ujian kali kedua pada 3 Oktober ini.

Ahmad Amzad diperiksa petugas kesihatan sewaktu melakukan ujian Covid-19 secara sukarela di Hospital Sultanah Nur Zahirah malam tadi. (Foto: Facebook Haji Ahmad Amzad Hashim)

Iklan

Terdahulu, Ahmad Samsuri diarahkan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari selepas berlaku kontak dengan dua individu positif Covid-19 beberapa hari lalu.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim melakukan ujian Covid-19 secara sukarela di Hospital Sultanah Nur Zahirah malam tadi untuk keselamatan orang ramai.

Iklan

Menurutnya, langkah itu diambil kerana beliau juga berkunjung ke Kota Kinabalu, Sabah pada 22 September lalu.

"Dalam pengumuman Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) ekoran peningkatan kes Covid-19 dalam tempoh 20 hingga 25 September, kerajaan mewajibkan saringan Covid-19 bermula 27 September kepada semua yang pulang dari Sabah.

"Saya pergi ke Kota Kinabalu yang bukan dikategorikan kawasan berisiko tinggi. Saya juga tidak mempunyai gejala, sihat dan dikawal ketat mengikut prosedur operasi standard (SOP).

"Semua yang menghampiri saya dikenal pasti oleh anggota keselamatan yang menjaga dengan baik di Kota Kinabalu.

"Jika saya diminta kuarantin diri, Insya-ALLAH saya akur dan difahamkan biasanya jika tiada apa apa dan tiada kontak rapat, aktiviti boleh berjalan seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebooknya.