Penjawat awam jangan sabotaj kerajaan, kata MB Perak

Iklan
Ahmad Faizal ketika berucap menyampaikan amanat tahun baharu kepada penjawat awam. foto: Pejabat Menteri Besar Perak

IPOH - Kerajaan Perak tidak mahu sebarang perbuatan sabotaj dilakukan penjawat awam di negeri ini dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, semua penjawat awam di Perak perlu patuh dan taat kepada kerajaan pada hari ini dalam melaksanakan tugas mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai penjawat awam beramanah, mereka tidak boleh bertindak bertentangan dengan dasar yang ditetapkan kerajaan.

"Saya menyeru kepada para penjawat awam untuk sentiasa mengutamakan tugasan dan usahlah bermain politik. Depan lain, belakang lain. Jangan ada dalam kalangan kita yang bersikap mengadu domba. Jangan sesekali ada di antara kita bersifat seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Jangan ada di kalangan kita yang menjadi musuh di dalam selimut.

Iklan

"Jangan ada yang cuba memecahbelahkan perpaduan di antara penjawat awam dan pihak pentadbiran demi kepentingan diri. Ingatlah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua," katanya ketika berucap pada Majlis Executive Talk dan Perutusan Amanat Tahun Baharu 2019 di Hotel Kinta Riverfront Ipoh, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, ketaatan yang dimaksudkan adalah kesetiaan dalam berkhidmat selagi pentadbiran kerajaan tidak terlibat dalam sebarang salah laku dan penyelewengan.

Iklan

Menurutnya, kekuatan sesebuah kerajaan amat bergantung kepada semua anggota penjawat awam.

Beliau berkata, penjawat awam yang tidak jelas dengan sesuatu arahan untuk dilaksanakan perlu duduk berbincang dengan ketua mereka bagi memastikan ia dapat disempurnakan.