SHAH ALAM - Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri serta muafakat dan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan berkata, mandat diberikan jelas membuktikan rakyat Sabah memilih sebuah kerajaan yang prihatin, inklusif dan menjamin kedaulatan negeri.
Iklan
Iklan
"Dengan penuh rasa tawaduk, PN akan menggalas mandat ini dengan tekad dan iltizam untuk menjana usaha pembangunan serta mencerdaskan ekonomi pasca pandemik Covid-19.
"Selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama, negeri dan rakyat Sabah akan menikmati pembangunan yang inklusif, saksama dan berkualiti," katanya hari ini.
Katanya, kemenangan itu pastinya akan menyemarakkan lagi kerjasama yang lebih utuh dalam PN untuk menggembeleng dukungan rakyat di seluruh negara sekali gus membangun sebuah negara bangsa yang bermaruah dan bersatu-padu.