Tidak setuju UMNO hantar nama calon awal

Iklan
Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

BUKIT GANTANG - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal tidak bersetuju dengan tindakan UMNO Bahagian itu yang telah menamakan calon mereka bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, tindakan itu dilihat mendahului kepimpinan tertinggi dalam pembahagian kerusi parti Melayu bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Iklan
Iklan

"Saya difahamkan UMNO (bahagian Bukit Gantang) menamakan calon bagi keempat-empat kerusi iaitu di Parlimen dan tiga kerusi DUN.

"Sebagai pemimpin bahagian, mereka kenalah sabar dan sepatutnya kita runding melalui mesyuarat sebelum patuh kepada keputusan Pusat.

Iklan

"Dalam soal bertanding (PRU), bukan kehendak kita individu, tetapi kehendak kolektif parti-parti yang bergabung, mesti ada tolak ansur, jadi saya tak setujulah awal-awal dinamakan, patutnya sabar dan buat kerja, tugas nak menamakan calon, biar pimpinan yang buat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bantuan Tabung Anak-anak Bukit Gantang Intensif Parlimen Bukit Gantang di Dewan Serbaguna Sungai Kerang, Trong di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendirian UMNO untuk mempertahankan semua kerusi tradisi yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Iklan

Pada PRU14 lalu, Syed Abu Hussin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian itu menang di Parlimen Bukit Gantang atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum umum menjadi wakil rakyat Bebas dan menyertai Bersatu pada Jun lalu.

Tiga lagi kerusi DUN iaitu Trong, Kuala Sepetang dan Changkat Jering turut dimenangi oleh BN masing-masing ditandingi wakil rakyat UMNO.

Ditanya peluang untuk dirinya kembali dicalonkan di kerusi Parlimen Bukit Gantang pada PRU15 nanti, Syed Abu Hussin berkata, keputusan itu terserah kepada pucuk pimpinan parti.

Baginya, sesiapa sahaja boleh diletakkan sebagai calon, asalkan masih dalam Perikatan Nasional (PN) yang telah dipersetujui pucuk pimpinan parti.

"Jika benarkan bertanding, maka saya teruskan, jika tidak maka saya akan bantu kerana semangat perjuangan saya tinggi dan yang pentingnya kerajaan PN dapat dikekalkan," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Kamarudin Abu Bakar ketika dihubungi berkata, UMNO akan mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang dan tiga DUN pada PRU-15.

Katanya, keputusan itu diputuskan oleh kepimpinan parti di peringkat atasan dalam Muafakat Nasional.