OLE GUNNAR Solskjaer mula mempersoalkan keazaman pemain-pemain Manchester United mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) setelah menyaksikan The Red Devils berhempas pulas meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas Brighton pada aksi di Stadium Amex.
Menurut pengendali The Red Devils berusia 47 tahun itu, secara realiti penguasaan perlawanan menentang The Seagulls berkenaan adalah seimbang.
Namun bekas pemain Manchester United itu menegaskan pelawat hanya mampu memberi tekanan hanya selepas Neal Maupay meletakkan tuan rumah di depan.
"Pada perlawanan ini saya seharusnya cukup jujur untuk mengatakan bahawa pemain-pemain Brighton banyak mencipta peluang.
"Ya, biarpun atas padang penguasaan bola adalah seimbang antara kedua-dua pasukan, namun realitinya Brighton mencipta lebih banyak peluang menjaringkan gol lebih besar berbanding Manchester United.
"Lihat sahaja setiap percubaan tuan rumah dinafikan palang, tiang gol dan aksi cemerlang David de Gea. Ya, pemain-pemain beraksi di bawah tekanan tetapi itulah permainan bola sepak.
"Pertahanan Manchester United beraksi baik sahaja biarpun kerap diberikan tekanan, cuma ada masanya pertahanan alpa menyebabkan Brighton menyumbat dua gol,” jelas Solskjaer.
Pada perlawanan kedua liga itu The Red Devils memerlukan penalti minit ke-100 Bruno Fernandes, untuk menjamin kemenangan pertama musim ini.
Tuan rumah terlebih dulu di depan hasil jaringan sepakan penalti Neal Maupay sebelum gol sendiri Lewis Dunk membuatkan pelawat menghela nafas lega menuju ke bilik persalinan.
Bersambung babak kedua Marcus Rashford meletakkan United di depan pada minit ke-55, namun tandukan minit ke-95 Solly March menyamakan kedudukan sebelum Bruno Fernandes muncul penyelamat pelawat.
Tegas Solskjaer terkilan anak buahnya gagal merobek gawang The Seagulls sehinggalah jaringan Maupay.
"Sepanjang 35 hingga 40 minit pertama, mereka mempunyai banyak peluang, namun malangnya kami gagal menemui sasaran sehingga Brighton menjaringkan gol. Bagaimana perasaan anda apabila secara tiba-tiba melihat pemain lawan agresif mengasak, memenangi tandukan dan bentes?
"Secara logik anda tidak akan berpeluang memenangi permainan liga sekiranya anda tidak memenangi bentes, jika tidak melakukan sebarang percubaan biarpun perlawanan seimbang. Jadi inilah elemen yang perlu pemain-pemain Manchester United pelajari dengan cepat,” katanya.