KUALA PILAH - Sepasang suami isteri cedera di kepala selepas rumah mereka di Kampung Dioh Besar di sini, dihempap pokok durian berusia 70 tahun yang patah dalam kejadian angin kencang, petang kelmarin.
Hamid Mohamad, 67, menerima 20 jahitan di kepala manakala isterinya Rahimah Ahmad, 63, menerima lima jahitan akibat kejadian tersebut.
Menurut Rahimah, sebelum kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pasangan warga emas tersebut bersama lima ahli keluarga yang lain sedang berada di ruang tamu rumah ketika tiba-tiba dikejutkan oleh bunyi dentuman kuat.
"Sebelum kejadian, angin tiba-tiba bertiup kencang lalu mematahkan batang pokok durian yang sudah pun berusia 70 tahun dan dianggarkan tinggi lebih 20 meter.
"Batang durian yang patah kemudian menimpa dahan pokok petai sebelum ia menghempap bumbung rumah kami," kata warga emas tersebut, menceritakan kejadian.
Tambah warga emas itu lagi, kejadian itu kali kedua berlaku semenjak dia dan keluarganya mendiami rumah berkenaan sejak 30 tahun lalu.
"Kejadian pertama berlaku awal tahun ini apabila dahan pokok petai menghempap anjung rumah, tetapi kami tidak alami kecederaan. Dalam kejadian kali ini, kami hanya fikir keadaan anak-anak dan cucu tanpa menyedari rupanya kepala saya dan suami sudah berlumuran darah.
"Syukur Alhamdulillah kerana anak dan cucu selamat walaupun kami terpaksa menerima jahitan di kepala," katanya.
Dia dan suaminya menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).
Tambah Rahimah, buat sementara waktu mereka menumpang di rumah seorang menantunya di Kampung Sungai Layang, Senaling sehingga kediaman itu siap dibaik pulih.