LANGKAWI - Dua penyeludup dadah yang dipercayai warga asing nekad terjun ke dalam laut yang bergelora di perairan Tanjung Kemarong dekat sini pada awal pagi Jumaat, selepas bot nelayan yang dinaiki mereka membawa 56.5 kilogram syabu bernilai RM11.3 juta dipintas oleh kapal peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis.
Pengarah Maritim Negeri Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, hingga kini kedua-dua suspek tersebut belum ditemukan dan pihaknya masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mereka.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Mohd Zawawi berkata, terdahulu, pihaknya mengesan pergerakan mencurigakan sebuah bot nelayan Thailand dari arah negara jiran itu berhampiran Tanjung Kemarong pada kira-kira 1 pagi.
"Susulan itu, APMM menggerakkan Bot Kilat APMM untuk memintas bot kelas A (bot kecil diperbuat daripada kayu) tersebut dan dalam usaha suspek meloloskan diri, mereka cuba merempuh bot APMM beberapa kali.
"Pasukan kami terpaksa mengejar mereka selama 40 minit sebelum melihat dua suspek terjun ke laut dari bot berkenaan walaupun keadaan laut ketika itu bergelora,” katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan oleh pihaknya ke atas bot itu menemukan du beg hitam yang mengandungi 51 bungkusan teh Cina berisi hablur berwarna putih disyaki syabu.
"Kami percaya dadah ini cuba diseludup ke Indonesia dari Thailand menerusi perairan Langkawi. Menerusi modus operandi ini, sindiket biasanya melakukan pemindahan bot iaitu memindahkan dadah dari satu bot ke bot lain untuk dibawa ke negara destinasi.
"Sindiket penyeludupan dadah ini juga mengubah modus operandi mereka dengan menggunakan bot nelayan kelas A bagi mengaburi pihak berkuasa selepas kejayaan kita mematahkan tiga cubaan sebelum ini,” katanya, menambah itu kali pertama pihaknya mengesan penggunaan bot kecil dalam penyeludupan dadah di perairan berkenaan.
Beliau juga berkata, rampasan dadah itu adalah yang terbesar setakat ini pada tahun ini bagi APMM Kedah/Perlis. - Bernama