ALOR SETAR - Penduduk Rumah Pangsa Tongkang Yard di Seberang Perak yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dibantu supaya tidak terputus bekalan makanan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pihaknya sudah menyalurkan bantuan segera berikutan permintaan daripada penduduk yang mendakwa terputus bekalan makanan.
Menurutnya, pihaknya segera mengambil inisiatif mengagihkan keperluan makanan kerana prihatin dengan kesukaran penduduk yang tidak dibenarkan keluar dari perumahan terbabit.
"UMNO Alor Setar menyampaikan barangan makanan yang diserahkan kepada barisan hadapan yang bertugas mengendalikan PKPD di rumah pangsa itu, yang kemudian mengagihkan barangan kepada penduduk," katanya di sini hari ini.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, khidmat bakti berkenaan akan diteruskan sekiranya wujud keperluan, malah akan dipantau dari semasa ke semasa.
"Kami simpati dengan nasib penduduk, moga sumbangan ini memberi sedikit kelegaan kepada mereka,” katanya.
Menurutnya, jumlah barangan makanan disumbangkan meliputi 88 unit rumah terlibat dengan dibantu 30 anggota barisan hadapan yang bertugas di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Syed Mohd Johan Rizal berkata, UMNO Alor Setar bersedia menghulurkan bantuan berterusan sekiranya penduduk masih berhadapan dengan PKPD pada minggu akan datang.
"Kami bersedia bantu meringankan kesusahan orang ramai dalam Parlimen Alor Setar seperti mana kami lakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya.
PKPD secara bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard dilanjutkan sehingga 7 Oktober depan selepas mendapati kawasan berkenaan masih berisiko tinggi bagi penularan Covid-19.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di daerah Kota Setar bermula 11 hingga 25 September lalu.