Malaysia tinjau peluang eksport gula ke Indonesia

Iklan
Saifuddin Nasution Ismail
JAKARTA - Malaysia bersedia mengeksport gula untuk Indonesia, berikutan lebihan pengeluaran gula negara, selain defisit pengeluaran gula Indonesia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata misi lawatan kerjanya selama dua hari ke Indonesia itu, antaranya adalah bagi meninjau peluang berkenaan dengan mengadakan perbincangan dua hala bersama kementerian berkaitan.

Pada hari kedua lawatannya hari ini, beliau mengadakan perbincangan dua hala bersama dua kementerian berkaitan iaitu Menteri Badan Usaha Milik Negara Indonesia, Rini M. Soemarno, dan Menteri Perindustrian Indonesia, Airlangga Hartarto, membincangkan perkara berkenaan.

"Pengeluaran"refined sugar" negara pada tahun hadapan dijangkakan sebanyak 3 juta tan setahun, sedangkan keperluan domestik dan industri kita hanya 1.5 juta tan setahun.

"Manakala Indonesia mengalami defisit pengeluaran gula sebanyak 2 juta tan setahun, jadi kita melihat potensi berkenaan, dan kita harap Indonesia akan membuka ruang untuk kita mengeksport gula kita," katanya di sini.

Beliau berkata menerusi perbincangan dua hala itu setakat ini, memperlihatkan maklum balas positif, dan perbincangan selanjutnya akan melibatkan pegawai-pegawai peringkat tertinggi kementerian-kementerian berkenaan. - Bernama