PHNOM PENH - Seekor tikus pengesan periuk api di Kemboja dianugerahkan pingat atas 'keberaniannya menyelamatkan nyawa'.
Tikus spesies raksasa Afrika digelar Magawa itu telah menemui 39 periuk api dan 28 objek yang tidak meletup sejak haiwan itu dilatih oleh badan amal APOPO yang mempunyai 45 ekor tikus yang berupaya menjejaki periuk api dan 31 ekor yang boleh mengesan tuberkulosis atau penyakit batuk kering pada manusia.
Magawa adalah 'hero' paling berjaya kerana berjaya membersihkan kawasan periuk api berukuran lebih 141,000 meter persegi bersamaan 20 padang bola sepak.
Oleh itu, 'kerja kerasnya' selama ini akhirnya diiktiraf dan dianugerahkan miniatur Pingat Emas PDSA yang setara dengan George Cross.
Difahamkan, ia adalah tikus pertama dalam sejarah 77 tahun badan amal tersebut untuk menerima pingat seumpama itu.
Magawa yang kini menghampiri usia 'bersara' mampu mencari periuk api di kawasan seluas padang tenis dalam tempoh 30 minit berbanding empat hari yang diperlukan manusia.
Kemboja menganggarkan antara empat dan enam juta periuk api ditanam di negara itu antara tahun 1975 dan 1998 yang turut meragut lebih 64,000 nyawa.
"Magawa berjaya menyelamatkan banyak nyawa. Setiap periuk api yang ditemuinya dapat mengurangkan risiko kecederaan atau kematian penduduk setempat," kata Ketua Eksekutif APOPO, Christophe Cox. - Agensi