PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 yang berlangsung kelmarin membawa pelbagai kejutan tidak diduga. Selain ditandingi bilangan calon dan parti yang banyak serta pertembungan sehingga 11 penjuru, pilihan raya berkenaan juga menyaksikan kekalahan ramai peneraju utama parti tempatan di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Jika diberikan perumpamaan, PRN Sabah boleh disifatkan sebagai sebuah peperangan yang ganas, kejam dan berkecamuk.
Ia tidak mengenal siapa yang bertarung. Dengan ganasnya ia mengorbankan ramai panglima perang dalam tempoh satu hari sahaja. Hanya panglima perang yang kuat dan mempunyai strategi mampu bertahan. Mereka yang lemah dan tidak mempunyai persediaan cukup terus disemadikan namanya dalam lipatan sejarah peperangan menakluk negeri itu.
Mereka yang tewas bukan calang-calang orangnya. Rata-ratanya mempunyai nama dan pengaruh besar dalam arena politik tempatan di Sabah.
Malah, mereka juga adalah peneraju parti politik yang mempunyai kredibiliti dan dipercayai oleh sebilangan besar rakyat Sabah.
Mereka yang tewas ialah Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Datuk Seri Anifah Aman yang bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Kiulu) serta dua Timbalan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Radin Malleh (Melalap) dan Datuk Dr Yee Moh Chai (Api-Api).
Bagaimanapun, Madius, Radin dan Moh Chai beruntung kerana parti mereka masih berjaya memenangi kerusi sedangkan Anifah pula sebaliknya. Sebanyak 73 calon PCS yang dipertaruhkan semuanya tewas termasuk beliau.
Turut tewas dalam saingan PRN Sabah ialah Ketua Umum Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia (Pintasan), Presiden Kehormat Seumur Hidup Parti Liberal Demokratik (LDP), Tan Sri Chong Kah Kiat (Inanam) dan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin (Api-Api).
Lebih malang, USNO yang mempertaruhkan 47 calon dan LDP yang meletakkan 46 calon juga gagal memenangi sebarang kerusi.
Senarai kekalahan peneraju parti bertanding dalam PRN Sabah turut memasukkan nama Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Dr Ationg Tituh (Kuamut) dan veteran politik yang juga Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Brigadier Jeneral Tan Sri Liew Yun Fah (Merotai).
Punca kekalahan
Sukar untuk ditentukan punca kekalahan sebenar mereka namun terdapat beberapa faktor penting yang membuatkan nama-nama besar dalam arena politik Sabah itu ditolak rakyat.
Antaranya ialah kredibiliti calon itu sendiri yang mana rakyat sendiri sudah bosan dengan mereka kerana gagal membantu rakyat ketika berkuasa sebelum ini.
Justeru, rakyat mengambil keputusan menolak mereka dan memilih muka baharu yang lebih dipercayai daripada bergantung dengan orang yang sama dan tidak relevan dalam pentas politik Sabah.
Kredibiliti parti yang diwakili juga memainkan peranan penting terhadap masa depan calon yang bertanding. Jika gah nama partinya, maka peluang calon bertanding untuk menang itu tinggi.
Jika parti itu kecil, baharu dan kurang mendapat perhatian namanya, maka sukar untuk calon mendapat kepercayaan rakyat.
Mereka bimbang parti yang menaungi calon tidak mampu memperjuangkan hak dan menyelesaikan masalah rakyat kelak dipilih nanti.
Parti-parti seperti ini biasanya hanya mendapat sokongan kecil dalam kalangan rakyat disebabkan oleh ideologi dibawa.
Kejayaan kepada seseorang calon juga bergantung kepada imej nama presiden parti yang diwakili. Jika presidennya lebih banyak menyakitkan hati daripada membantu rakyat, maka peluang untuk calon menang adalah tipis.
Perkara tersebut terbukti melalui parti-parti politik yang wujud di seluruh Malaysia. Rata-rata parti yang kuat dan mendapat sokongan rakyat dinaungi oleh seorang presiden yang mempunyai imej dan nama yang baik.
* Hafezdzullah Mohd Hassan ialah Editor Penyelidikan Editorial Sinar Harian