KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri Sabah pada Sabtu lalu sangat signifikan untuk menjadi indikator kepada senario politik Malaysia pada masa depan.
Dengan keputusan tipis semalam yang menyaksikan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) hanya mengumpul 38 kerusi (berbanding 37 kerusi yang diperlukan untuk majoriti mudah), ia menggambarkan betapa ‘cairnya’ politik Malaysia ketika ini.
Ini kerana senario menang tipis di Sabah sebenarnya tidak jauh berbeza dengan apa yang dilalui kerajaan Pusat ditunjangi gabungan PN yang cuma memiliki 113 kerusi Parlimen (daripada keseluruhan 222 kerusi di Dewan Rakyat) manakala Pakatan Harapan mengejar rapat dengan 109 kerusi.
Jika diteliti dengan lebih mendalam sejak Pilihan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018, hakikatnya tiada sebuah parti paling menonjol dan berkuasa di Malaysia.
Dalam erti kata mudah, era emas UMNO dan Barisan Nasional (BN) menjadi payung besar kepada berbelas-belas parti menerusi panji BN telah pun berakhir.
Semua parti ketika ini terpaksa menerima hakikat bahawa mereka perlu bergantung dan berkongsi kuasa antara satu sama lain untuk menjadi kerajaan.
Malah, lebih pahit sebenarnya di Sabah, apa yang dimandatkan rakyat Negeri Di Bawah Bayu pada PRU2018 dan pada PRN2020 sebenarnya tidak banyak berbeza.
Pada PRU2018, BN mendapat 29 kerusi, Warisan 29 kerusi dan STAR dua kerusi sebelum Warisan berjaya memujuk ADUN BN melompat parti.
Justeru, dengan gelora politik Malaysia, termasuk di Sabah, apabila kerajaan dibentuk dengan perbezaan dua atau tiga kerusi, ia bagaikan bergantung pada tali yang sangat halus.
Sebarang pertikaian sesama rakan gabungan sebagai contoh isu calon Ketua Menteri atau jika ada berlakunya aktiviti ‘beli-belah’ Yang Berhormat, bila-bila masa sahaja perkongsian kuasa antara rakan gabungan boleh terbubar.
ARTIKEL BERKAITAN: Shafie Apdal jatuh dari puncak kuasa
PRN Sabah: Kemenangan luar jangkaan GRS
Majoriti kecil
Namun begitu, bagi Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib, majoriti dua atau tiga kerusi sudah cukup memadai untuk Gagasan Rakyat Sabah (GRS) membentuk pimpinan kerajaan negeri.
Prinsipnya mudah bagi Kartini. Kemenangan sebuah parti itu, katanya, bukan diukur melalui berapa jumlah sebuah parti itu memenangi kerusi dipertandingkan tetapi jumlah kerusi melalui gabungan parti iaitu GRS yang kini memiliki 41 kerusi (selepas disokong tiga ADUN Bebas) berbanding Warisan Plus dengan 32 kerusi.
"Sekarang ini kalau kita lihat banyak negara di dunia, memang berlaku pola dan trend bahawa tidak ada parti yang mendapat majoriti dua pertiga. Ini memberikan ruang kepada calon bebas, parti kecil untuk sama-sama membentuk kerajaan.
"Di Australia, trend itu sudah berlaku sejak lebih 10 tahun dahulu. Begitu juga dengan Belgium. Kalau kita lihat di Malaysia, pembentukan gabungan parti-parti kecil membentuk satu payung yang besar telah bermula sejak Perikatan dan disusuli dengan BN, PH serta seterusnya PN,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Jelas Kartini, trend permuafakatan itu sudah berlaku sejak tahun 1960 selepas Arend Lijphart, seorang pakar sains politik, memperkenalkan idea permuafakatan di Eropah kerana pada ketika itu parti politik di sana bukan sahaja berdepan dengan isu persoalan, malah perbezaan ideologi serta politik untuk membentuk kerajaan.
Tegas Kartini, idea permuafakatan itu menjadi jalan penyelesaian bagi menggabungkan parti-parti yang kecil dan trend itu diguna pakai sehingga ke hari ini termasuklah di Sabah dan di Malaysia.
"Idea ini juga masih lagi kukuh. Kalau satu ketika dahulu, kita boleh nampak ada parti yang memenangi dua pertiga tetapi pada kali ini sama seperti yang pernah dilalui oleh Arend Lijphart, tiada parti yang cukup besar menguasai dua pertiga. Yang wujud ialah gabungan beberapa parti kecil membentuk sebuah permuafakatan,” katanya.
Biarpun begitu, landskap politik negara melalui permuafakatan parti politik itu belum cukup matang kerana pada hakikatnya bila-bila masa sahaja senario itu akan berubah. Hari ini ahli Parlimen sokong kerajaan Pusat, esok lusa menyokong parti lawan pula.
Situasi ini juga boleh berlaku di Sabah kerana sehingga jam 10 malam tadi kemelut pemilihan Ketua Menteri masih bertemu penyelesaian. Ia melibatkan dua nama iaitu antara Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Malah lebih mengejutkan, tersebar khabar angin kononnya PBS yang memenangi tujuh kerusi akan menjadi king maker dengan memberi sokongan kepada Warisan Plus susulan tiada kelibat pemimpin parti tersebut ketika mesyuarat pemilihan Ketua Menteri pagi semalam.
Bagaimanapun, PBS menafikan spekulasi itu, malah mengakui bersedia untuk memberi sokongan kepada mana-mana Ketua Menteri baik daripada BN atau Bersatu.
Kuasa mutlak
"Bila tidak ada satu kuasa mutlak, masing-masing mula memberikan tawaran masing-masing. Parti yang kecil sekalipun merasakan mempunyai peranan dan juga memberikan maksud dan makna ke atas kedudukan seperti itu.
"Keadaan tidak stabil sebenarnya memudahkan blok-blok tertentu merasakan mereka itu penting dan signifikan. Dalam konteks penubuhan kerajaan Sabah, PBS adalah king maker.
"Kalau PBS tarik diri, memang susah GRS hendak membentuk kerajaan dan Warisan Plus merasakan PBS yang paling mudah didekati sebagai parti lokal berbanding PN ataupun BN,” akui Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian.
Katanya, keadaan sedemikian akan berterusan jika parti dalam GRS tidak menunjukkan kematangan dalam memastikan kestabilan blok baharu itu.
"Kalau dulu, apabila BN menguasai secara mutlak, dengan sendirinya kita tahu siapa calon Ketua Menteri. Sama juga dengan kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri kita tahu siapa dia walaupun tidak bertulis tetapi ada konsensus sesama mereka. Tetapi di Sabah, dilemanya masing-masing merasakan mereka mahu jawatan tersebut.
"Jadi saya rasakan di sinilah kita akan melihat kematangan berpolitik siapa yang bersedia berkompromi atau siapa yang bersedia untuk berkorban jika benar-benar mahu mempertahankan kestabilan.
"Jika tidak, keadaan ini akan berterusan apatah lagi Warisan Plus merasakan mereka boleh menggugat dan memerintah semula jika wujud peluang melakukan rundingan terutamanya melibatkan parti PBS,” katanya.