AL EBREIZ Global Capital Berhad dalam proses memperkenalkan sistem dagangan elektronik e-Dinar dan e-Dirham, menggunakan emas dan perak sebagai nilai pertukaran dagangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ebreiz Global Capital Berhad, Mohd Norazam Dato’ Muhammad berkata, pihaknya menggunakan teknologi blockchain bagi memastikan sistem dagangan e-Dinar dan e-Dirham yang diperkenalkan itu selamat.
"Dengan kaedah ini, sistem dagangan e-Dinar dan e-Dirham kami, boleh dipercayai dan telus melalui pelaksanaan, sistem dan agihan keuntungan.
"Platform ini secara langsung membolehkan masyarakat, khususnya umat Islam menjana pendapatan yang halal dalam melakukan transaksi dagangan digital secara maya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Mohd Norazam pernah bekerja di New York sebagai penganalisis kewangan di Forex Capital Markets LLC (FXCM) yang merupakan sebuah syarikat kewangan berstatuskan"Fortune 500 Companies di NYSE.
Dengan pengalaman di dalam bidang market maker di FXCM selama lebih 20 tahun, beliau merangka pipeline untuk menyediakan satu platform ekonomi di mana masyarakat dapat menjana pendapatan yang halal dalam transaksi dagangan digital secara maya.
"Saya kemudian menubuhkan Al-Ebreiz Global Capital Berhad bersama rakan iaitu Datuk Abdul Manap Abdul Wahab (Bekas CEO Bank Muamalat Malaysia Berhad), yang diharap dapat merealisasikan misi dan visi kewangan berstatus hibrid untuk kesejahteraan ummah.
"Al-Ebreiz yang bermaksud The Purest Gold ditubuhkan untuk mengubah sistem ekonomi moden menjadi sistem ekonomi Islam,” katanya.
Dengan slogan ‘The Future of Islamic Hybrid Finance’, Al-Ebreiz komited untuk menjadi pemangkin kepada sistem kewangan hibrid.
Baru-baru ini, Mohd Norazam mendapat pengiktirafan oleh Des Prix Infinitus sebagai Pemimpin Terbaik di Anugerah Kecemerlangan Pemimpin 2020 dan turut mendapat pengiktirafan sebagai salah seorang individu berjaya di Malaysia oleh British Publishing House Ltd.
Profil beliau akan diketengahkan dan disiarkan secara eksklusif dalam edisi ketiga ensiklopedia 'Successful Person in Malaysia' untuk tahun 2020.