DUNGUN - Bukan sahaja mencuri wang derma milik sebuah madrasah tetapi seorang lelaki bertindak melanggar anggota polis dengan kereta yang dipandu.
Dalam kejadian Rabu lalu, aksi lelaki berusia 36 tahun tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) membawa lari wang tabung milik Madrasah Kuantan yang diletak di hadapan kaunter di Stesen Minyak Petronas Paka.
Kejadian itu disedari kerani premis berkenaan yang kemudiannya membuat laporan polis apabila sejumlah wang tabung bernilai RM300 lesap.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Paka berjaya menahan suspek.
Bagaimanapun, ketika ditahan lelaki yang memandu kereta jenis Proton Wira berwarna biru berkenaan cuba meloloskan diri dan bertindak mengundurkan kereta sehingga merempuh salah seorang anggota polis yang berada di belakang.
"Anggota tersebut tidak mengalami kecederaan dan bangun serta berlaku pergelutan di antara suspek dengan pasukan polis.
"Suspek berjaya ditahan dan turut ditahan seorang wanita berusia 42 tahun yang turut berada di dalam kereta berkenaan," katanya.
Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek yang berasal dari Felda Kerteh 1, Ketengah Jaya itu mengaku terlibat dalam beberapa lagi jenayah di Dungun dan Kemaman.
"Hasil semakan, suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkait kes jenayah dan dadah," katanya.
Suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Dungun semalam untuk mendapatkan perintah tahanan reman.