SUNGAI BULOH - Pasangan suami isteri yang mengambil kesempatan kononnya menawarkan pakej penginapan hotel mewah membabitkan pasukan barisan hadapan sejak tahun lalu ditahan di sebuah inap desa di Ampang Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, sebanyak 30 laporan polis diterima pihaknya setakat Jumaat lalu membabitkan penipuan yang dilakukan suspek.
Menurutnya, siasatan mendapati pasangan berusia 27 dan 26 tahun itu aktif menjalankan kegiatan penipuan itu sejak September tahun lalu dengan menggunakan nama I & I Paradise Venture.
"Nilai kerugian membabitkan kes ini berjumlah RM26,193 dan kebanyakan mangsa terdiri daripada pasukan barisan hadapan.
"Modus operandi suspek adalah mengiklankan pakej penginapan hotel mewah di seluruh negara dengan harga murah menerusi aplikasi WhatsApp," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh hari ini.
Tambahnya, mangsa yang berminat kemudian akan diminta membuat bayaran penuh sebelum diarah berhubung dengan suspek dalam tempoh 10 hari daripada tarikh daftar masuk hotel.
Katanya, bagaimanapun, pada hari tempahan suspek akan mendakwa hotel penuh lalu menawarkan tempat penginapan lain dengan harga lebih tinggi.
"Kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu kini direman untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu," katanya.