WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam dikatakan hanya membayar cukai persekutuan sebanyak AS$750 (RM3,124) pada tahun 2016 iaitu tahun dia memenangi pilihan raya Presiden.
Pendedahan itu dilakukan ketika rekod kewangannya kembali menjadi kontroversi sebelum pendebatan pusingan pertama pilihan raya presiden AS bermula.
Akhbar New York Times mendakwa Trump hanya membayar sebanyak AS$750 pada tahun 2016 iaitu semasa tahun pertama dia memegang jawatan itu dan tidak membayar semua cukai pendapatan dalam tempoh 10 daripada 15 tahun kerana dia mengalami banyak kerugian.
Trump kemudian menafikan dakwaan itu dan menganggapnya sebagai satu berita palsu.
Dia kini bersedia untuk menghadapi satu detik penting dalam kempennya bagi mempertahankan jawatannya apabila akan berdepan dengan pencabar daripada parti Demokrat, Joe Biden dalam satu perdebatan buat pertama kalinya pada Selasa ini.
Bilionair daripada parti Republikan itu telah juga memecahkan tradisi presiden AS apabila dia enggan mendedahkan butiran cukainya kepada awam.
Tindakan itu menyebabkan timbulnya spekulasi mengenai apa yang terkandung dalam cukai tersebut.
Presiden AS itu juga menghadapi satu tuntutan undang-undang bagi mengelak pihak pendakwa raya New York daripada memperoleh rekod cukainya di mahkamah yang mana keputusan kesnya itu masih belum dibuat.
Pendakwa raya itu, Cyrus Vance mahu mendapatkan rekod cukai tersebut bagi membantu siasatan bekas peguam Trump iaitu Michael Cohen yang didakwa membayar sejumlah wang sebagai usaha untuk mendiamkan diri dua wanita berhubung dakwaan seksual ke atas bilioniar tersebut sebelum pilihan raya pada tahun 2016.
"Saya turut membayar banyak cukai negara. Ia semua telah dimaklumkan," kata Trump sekali gus menafikan berita yang dikeluarkan oleh akhbar tersebut yang menyebut tentang data cukainya selama lebih 20 tahun. - Agensi